SARASWATHY (dua dari kanan) mendengar penerangan mengenai produk hasil pertanian Orang Asli oleh Kamal (kanan) pada MoU antara Koperasi Orang Asli Pos Musoh dan Aeon di Tapah.
SARASWATHY (dua dari kanan) mendengar penerangan mengenai produk hasil pertanian Orang Asli oleh Kamal (kanan) pada MoU antara Koperasi Orang Asli Pos Musoh dan Aeon di Tapah.
BERNAMA

Tapah: Sembilan hasil tani Orang Asli Pos Musoh di sini, mendapat perhatian untuk dipasarkan secara komersial di Pasaraya Aeon di seluruh negara.

Pengerusi Koperasi Orang Asli Pos Musoh Kamal Bah Kan Lok berkata, antara hasil tani itu ialah petai, bunga kantan, pandan, serai, lengkuas, kunyit serta daun kunyit.

"Turut akan dipasarkan ialah jeruk petai dan sambal kantan yang kini dalam perancangan untuk dipasarkan di pasar raya itu," katanya kepada Bernama ketika majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Koperasi Orang Asli Pos Musoh dan Aeon Co (M) Sdn Bhd (Aeon) di sini, semalam.

Katanya, kerjasama dengan Aeon bermula pada Mac lepas melalui produk petai hutan Tapah yang siap dikopek dan kini dengan perluasan kepada produk pertanian lain, koperasi akan dapat mengupah orang kampung dan seterusnya menjana pendapatan kepada komuniti dan penduduk.

Sementara itu, Pegawai Pemasaran dan Perdagangan Aeon Lau Ngai Yuen berkata, produk tani itu mendapat permintaan tinggi kerana pelanggan sukakan sesuatu yang segar dan semula jadi.

"Walaupun harganya mungkin agak mahal sedikit tetapi penerimaannya sangat bagus kerana ia ditanam secara tradisional dan ada yang berasal dari sumber semula jadi seperti petai," katanya.

Lau berkata, ia juga langkah penting bagi mengelak produk tani yang dihasilkan dijual kepada peraih atau orang tengah, sebaliknya dipasarkan secara terus kepada pasar raya itu.

Dalam pada itu, majlis menandatangani MoU itu turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saraswathy Kandasami.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Orang Asli Negeri Perak dan Kedah, Hairulnizam Abd Rahman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 8:33 AM