35 ekor anjing yang dijumpai di lokasi, mereka turut menemui bangkai beberapa ekor anjing dan kucing di dalam unit berkunci sebuah rumah di Port Dickson. FOTO ihsan pembaca
35 ekor anjing yang dijumpai di lokasi, mereka turut menemui bangkai beberapa ekor anjing dan kucing di dalam unit berkunci sebuah rumah di Port Dickson. FOTO ihsan pembaca
Mohd Amin Jalil


Seremban: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) menyiasat dakwaan penemuan 35 anjing bersama bangkai haiwan di sebuah rumah di Port Dickson, dekat sini, kelmarin.

Pengarahnya, Dr Kamarulrizal Mat Isa, berkata walaupun sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah membantu dan mengambil tindakan menyelamatkan anjing terbabit, namun pihaknya akan tetap menjalankan siasatan lanjut.

"Walaupun kes ini dianggap selesai selepas NGO terbabit bertindak menyelamat kumpulan anjing berkenaan, namun kami akan mendapat maklumat dan menjalankan siasatan terhadap kejadian berkenaan.

"Kita akan berusaha memberikan khidmat nasihat dari segi undang-undang dan tindakan sewajarnya kepada pemilik haiwan berkenaan, jika dia ingin meneruskan usaha memelihara anjing.

"Kami akan cuba menemui pemilik haiwan berkenaan hari ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan sebuah pertubuhan penyelamat haiwan menemui 35 anjing bersama beberapa bangkai haiwan di sebuah rumah di Port Dickson.

Pada 14 April lalu, tular klip video berdurasi 18 minit memaparkan Ketua FurryKids Safehaven, Jeskiran Kaur Bhatt dan pasukannya menyelamatkan haiwan dari kediaman berkenaan.

Jeskiran dilaporkan berkata, pihaknya terpaksa memotong kunci untuk masuk ke banglo satu tingkat itu ketika mahu menyelamatkan haiwan terbabit.

Mengulas lanjut, Kamarulrizal berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada mana-mana pihak berhubung kes terbabit.

"Saya telah menyemak dengan pasukan saya di Port Dickson, dan mereka tidak mengetahui kes itu kerana tiada aduan dibuat.

"Namun begitu, pegawai saya akan melawat rumah pemilik haiwan berkenaan hari ini untuk mendapatkan maklumat lanjut dan memberikan khidmat nasihat sewajarnya," katanya.

Beliau berkata, tindakan boleh diambil terhadap pemilik haiwan terbabit di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 jika terdapat bukti menunjukkan pengabaian atau kekejaman dilakukan terhadap haiwan berkenaan.

"Bagaimanapun, setakat ini kes terbabit dianggap selesai selepas usaha menyelamatkan haiwan berkenaan dilakukan oleh NGO terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 10:44 AM