54 ekor anjing liar yang dibela di kandang Persatuan Penyelamat Haiwan Terbiar Furrykids Safehaven mati lemas dalam kejadian banjir di Mambau. FOTO Ihsan Persatuan Penyelamat Haiwan Terbiar Furrykids Safehaven
54 ekor anjing liar yang dibela di kandang Persatuan Penyelamat Haiwan Terbiar Furrykids Safehaven mati lemas dalam kejadian banjir di Mambau. FOTO Ihsan Persatuan Penyelamat Haiwan Terbiar Furrykids Safehaven
Abnor Hamizam Abd Manap

Seremban: Banjir yang melanda sebahagian kawasan di Seremban tengah malam tadi, turut mengakibatkan 54 ekor anjing liar mati lemas dilanda arus deras.

Anjing itu dibela sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kampung Mawar, Mambau yang turut terkesan akibat banjir kilat.

Setiausaha Persatuan Penyelamat Haiwan Terbiar Furrykids Safehaven, M Sathiavany berkata, kesemua anjing itu mati lemas selepas kandang haiwan terbabit yang terletak kira-kira 200 meter dari Sungai Linggi dilanda arus deras.

"Selepas menyedari paras air sungai meningkat tengah malam tadi, tujuh pekerja yang menjaga kandang membuka pintu kandang bagi melepaskan anjing.

"Ada 1,800 ekor anjing, kebanyakannya anjing liar yang ditangkap, menyelamatkan diri dengan naik ke atas bumbung kandang.

"Pekerja memaklumkan kejadian terbabit namun kami tidak dapat ke kandang berikutan jalan tidak boleh dilalui," katanya.

Sathiavany berkata, dia bersama ahli NGO itu kemudiannya ke kandang berkenaan jam 7 pagi tadi namun mendapati 54 daripada anjing terbabit mati.

Katanya, kematian anjing itu dipercayai berpunca daripada arus deras yang melanda di sekitar kandang seluas 0.8 hektar terbabit.

"Kandang ini mula beroperasi pada Disember 2017. Anjing liar yang dibela sebelum ini ditangkap Majlis Bandaraya Seremban (MBS) selain kami sendiri.

"Turut musnah harta benda milik pekerja dan makanan anjing," katanya.

Sathiavany berkata, pihaknya akan memindahkan anjing sedia ada ke pusat penjagaan baharu yang lebih selesa dan jauh dari kediaman penduduk di Kuala Sawah, Rantau pada hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 6:22 PM