KEADAAN mangsa, Muhammad Adib Asyraf Amiruddin, 6, yang diserang anjing liar di sekolahnya ketika ditemui di Hospital Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
KEADAAN mangsa, Muhammad Adib Asyraf Amiruddin, 6, yang diserang anjing liar di sekolahnya ketika ditemui di Hospital Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Raja Noraina Raja Rahim


MAJLIS Perbandaran Port Dickson (MPPD) sudah menjalankan operasi bagi menangkap anjing liar yang menyerang murid Sekolah Agama Rakyat Haji Awaluddin, Telok Kemang, Port Dickson, semalam.

Yang Dipertua MPPD, Mohd Zamri Mohd Esa berkata, operasi yang dilakukan di sekolah berkenaan dan kawasan sekitar bagaimanapun gagal mengesan anjing itu.

“MPPD menerima maklumat mengenai kejadian itu petang semalam dan saya sudah mengarahkan anggota melakukan operasi menangkap haiwan liar itu pagi tadi. Namun sepanjang operasi, tiada anjing yang berkeliaran.

“Kita akan terus melakukan operasi dan pemantauan secara berkala di kawasan itu bagi mengelak kejadian berulang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Zamri berkata, pihaknya sebelum ini pernah menerima aduan kehadiran anjing liar di kawasan sekolah itu dan sudah mengambil tindakan.

“Berdasarkan maklumat daripada pihak sekolah, terdapat beberapa anjing liar yang sering masuk ke kawasan sekolah dan guru akan mengambil tindakan menghalau haiwan itu sebelum sesi persekolahan bermula.

“Hasil pemeriksaan dilakukan mendapati anjing masuk melalui kawasan belakang sekolah dan longkang,” katanya.

Katanya. beliau akan mengadakan pertemuan dengan keluarga mangsa dan pihak sekolah pada Isnin ini untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai kejadian.

Berita berkaitan

'Cukuplah anak saya jadi mangsa'

Kanak-kanak cedera digigit anjing liar

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 5:45 PM