ANGGOTA bomba menjalankan operasi menyelamat lima sekeluarga selepas kereta dinaiki mereka terjatuh dalam gaung. FOTO ihsan BOmba
ANGGOTA bomba menjalankan operasi menyelamat lima sekeluarga selepas kereta dinaiki mereka terjatuh dalam gaung. FOTO ihsan BOmba
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Lima sekeluarga nyaris maut sejurus kereta dinaiki mereka terhumban ke dalam gaung sedalam 40 meter di Jalan Kuala Kubu Bharu, di sini.

Dalam kejadian jam 9.41 pagi tadi, mangsa membabitkan pasangan suami isteri berusia 35 dan 32 tahun serta tiga anak mereka berusia enam, lapan dan 14 tahun.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Menurut laporan awal, nahas membabitkan sebuah kereta Proton Satria dan terdapat lima mangsa di dalamnya.

"Lima sekeluarga itu bagaimanapun hanya cedera ringan dan berjaya diselamatkan anggota bomba," katanya.
Ahmad Mukhlis berkata, semua mangsa diserahkan kepada pasukan perubatan dan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 1:56 PM