MOHD Hairi Mad Shah. FOTO Bernama
MOHD Hairi Mad Shah. FOTO Bernama
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) negeri ini mempersoalkan motif individu dipercayai pemimpin muda PAS yang memuat naik entri di media sosialnya didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Jumaat lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah, berkata tindakan berkenaan disifatkan biadap kerana memperlekeh serta membuat dakwaan tidak berasas terhadap Institusi Diraja khususnya Yang di-Pertuan Agong.

Mohd Hairi yang juga Naib Ketua Pemuda Umno berkata, walaupun status itu dikatakan sudah dipadam, namun terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

"Saya tertanya-tanya apa motif Hezry Yasin, Pemuda PAS Selangor ini yang bertindak biadap hingga memperlekeh Yang di-Pertuan Agong.

"Ini ke pewaris anak muda parti yang kononnya memperjuangkan Islam? Sampai Institusi Diraja pun dibuat bahan tohmahan secara umum.

"Isu berkaitan sensitiviti agama, bangsa dan institusi raja-raja (3R) terus berlaku ibarat tiada berkesudahan. Namun isu ini ibarat bermusim dan sering kali timbul, sehingga membawa kepada elemen provokasi dan modal politik murahan sesetengah pihak.

"Kerajaan perlu ada kehendak politik yang tinggi dalam meletakkan pendirian, sekaligus menguatkuasakan dasar supaya insiden seperti ini tidak terus berulang," katanya dalam kenyataan, semalam.

Dalam entri yang dipercayai sudah dimuat turun individu terbabit, antara lain beliau menyatakan tidak menadah tangan ketika doa dibacakan untuk Sultan dan Agong ketika solat Jumaat, kelmarin.

Beliau juga mendakwa doanya hanya diberi kepada pemimpin yang meletakkan agama sebagai nombor satu dan memperjuang serta mempertahan Islam ketika agama diancam.

Berdasarkan perkongsian di media sosial, individu berkenaan yang dikenali sebagai Hezry Yasin itu didakwa sebagai Pengarah Media Baharu Pemuda PAS Selangor.

Pemuda Umno dilaporkan akan membuat laporan polis bagi menggesa siasatan dibuat ke atas seorang individu dipercayai pemimpin muda PAS yang memuat naik entri di media sosialnya didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin pula menyifatkan tindakan pemimpin muda PAS itu mencemar kemuliaan Syawal dengan sikap pelampau politik.

Katanya, tindakan itu mengguris perasaan rakyat Johor dan dilihat sebagai satu provokasi kepada Bangsa Johor dan institusi Diraja yang sememangnya cintakan perpaduan dan kedamaian.

"Suka diingatkan, Bangsa Johor menolak pelampau politik. Parti politik seharusnya memainkan peranan penting dalam mewujudkan perpaduan dalam negara kita.

"Sebagai orang kuat parti yang disebut sebagai parti Islam, tunjukkanlah contoh yang baik kepada rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 1:02 PM