KENDERAAN terkandas  di Jalan Tol Kanetsu yang menghubungkan Tokyo dan Niigata.
KENDERAAN terkandas di Jalan Tol Kanetsu yang menghubungkan Tokyo dan Niigata.
Agensi

Tokyo: Lebih 1,000 pemandu di Jepun terkandas 40 jam dalam kesesakan lebuh raya disebabkan ribut salji, baru-baru ini.

CNN melaporkan kesesakan lalu lintas teruk itu berlaku di Jalan Tol Kanetsu yang menghubungkan Tokyo dan Niigata.

Lebih malang, semua mereka hanya ada sedikit bekalan makanan dan air untuk mengharungi tempoh lama dalam kesesakan itu.

Bagi mengelak kesesakan lebih teruk, pihak berkuasa menutup laluan masuk ke lebuh raya itu bagi mengurangkan jumlah kenderaan terkandas.

Syarikat konsesi lebuh raya di negara itu, Syarikat Lebuhraya Nippon (Nexco) berkata, kesesakan bermula apabila sebuah kenderaan terkandas dalam salji tebal di tengah lebuh raya menyebabkan lalu lintas terhalang.

Wilayah tengah dan utara negara itu dilanda ribut salji sejak beberapa hari lalu.

Kejadian menyebabkan masalah lalu lintas dan bekalan elektrik terputus di beberapa tempat.

"Kesesakan jalan raya terjadi pada malam Khamis dan berlanjutan esoknya dengan kesesakan sepanjang 15 kilometer," kata Nexco kepada CNN.

Dilaporkan, pemandu tidak bergerak dari tempat sama lebih 40 jam.

Mereka terkandas di tengah ladang dilitupi salji menyebabkan pasukan bantuan menghantar bebola nasi, roti, keropok, makanan ringan, 600 botol air serta ribuan liter petrol dan diesel.

"Salji sangat tebal dan ada antara kenderaan tertimbus. Saya benar-benar ketakutan.

"Saya makan semua bekalan, sekarang untuk minum air, saya perlu mencairkan salji yang dikumpulkan dalam botol plastik," kata seorang pemandu yang enggan dikenali ketika ditemu bual wartawan NHK.

Menurut petugas pengurusan krisis Niigata, Tsuyoshi Watanabe, seorang wanita berusia 30-an dan seorang lelaki berusia 60-an dibawa ke hospital akibat masalah pernafasan dan mengalami mual.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 7:10 AM