Pasukan bomba memadam kebakaran van selepas terbabit kemalangan di Jalan Tunku Abdul Rahman, berhampiran bangunan UTC, Kota Kinabalu.
Pasukan bomba memadam kebakaran van selepas terbabit kemalangan di Jalan Tunku Abdul Rahman, berhampiran bangunan UTC, Kota Kinabalu.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Empat beranak terselamat selepas van yang dinaiki mereka terbakar dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini, tengah malam tadi.

Pemandu van lelaki berusia 33 tahun, isterinya berusia 31 dan dua lagi anak perempuan dan lelaki di bahagian kaki.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.57 tengah malam.

Katanya, kemalangan membabitkan dua kenderaan jenis Toyota Vios dan Nissan Vanette.

"Kemalangan itu mengakibatkan van terbakar 60 peratus di bahagian enjin dan pasukan bomba bertindak membuat pemadaman menggunakan satu aliran hos dan foam.

"Terdapat empat mangsa terbabit dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman dilakukan sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Evan Bobby.

"Pasukan bomba kemudian membuat rawatan awal seterusnya menghantar mangsa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk rawatan lanjut.

"Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada jam 1.25 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2024 @ 11:01 AM