BARANG seludup yang ditinggalkan berdekatan sempadan ditemui anggota TDM yang menjalankan rondaan di Lubok Antu dan Tebedu, semalam. FOTO IHSAN MARKAS 1 DIV
BARANG seludup yang ditinggalkan berdekatan sempadan ditemui anggota TDM yang menjalankan rondaan di Lubok Antu dan Tebedu, semalam. FOTO IHSAN MARKAS 1 DIV
Mohd Roji Kawi


Kuching: Tentera Darat Malaysia (TDM) menggagalkan cubaan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk memasuki negeri ini melalui jalan tikus di sempadan, pada dua kejadian berasingan semalam.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya, Markas 1 Divisyen Infantri berkata, pada kejadian pertama jam 12.40 tengah hari, dua warga asing dikesan di kawasan Balai Ringin, Serian.

Beliau berkata, ketika ditahan oleh anggota yang sedang membuat rondaan, kedua-duanya memberi alasan masuk ke kawasan Sarawak kerana memasang jaring untuk menangkap burung di ladang kelapa sawit yang terletak berdekatan sempadan.

"Kedua-dua warga asing itu tiada sebarang dokumen pengenalan diri dan mereka kemudiannya diusir," katanya pada kenyataan hari ini.

Pada kejadian kedua jam 3 petang, juga di Balai Ringin, hasil maklumat perisikan, pasukan ronda berkenderaan mengesan tiga individu dalam keadaan mencurigakan berjalan dari arah Indonesia memasuki kawasan Malaysia.

"Ketiga-tiganya ditahan dan selepas disoal siasat, mereka mengaku warga Indonesia dan dalam perjalanan ke Serian. Mereka kemudiannya diusir," katanya.

Sementara itu, anggota TDM yang melaksanakan rondaan di sempadan semalam, turut menemui dua barangan yang ditinggalkan di kawasan hutan dipercayai milik warga asing yang melarikan diri serta barangan seludup.

Pada kejadian pertama di Lubok Antu jam 1.30 tengah hari semalam, anggota tentera menemui tiga beg dipenuhi pakaian.

"Pada jam 5.30 petang pula, anggota yang meronda di Tebedu menemui 10 guni berisi barangan seperti pakaian, alat solek, ubat-ubatan serta rempah ditinggalkan di belakang sebuah rumah kosong berdekatan sempadan.

"Semua barangan itu dianggarkan bernilai lebih RM17,000 dan diseludup dari negara jiran," katanya.

Menurut kenyataan, kes pencerobohan dan cubaan menyeludup barangan di sempadan Sarawak-Kalimantan Barat didapati semakin meningkat, terutamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Pasukan TDM di bawah pemerintahan Markas 1 Divisyen Infantri bersama pasukan-pasukan keselamatan di bawah National Task Force (NTF) melalui inisiatif Op Benteng komited mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan serta aktiviti menyelinap ke Sarawak," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 7:10 PM