OPERASI bas ekspres diteruskan. FOTO NSTP
OPERASI bas ekspres diteruskan. FOTO NSTP
Yusmizal Dolah Aling


KEMENTERIAN Pengangkutan tidak mengarahkan mana-mana operator bas ekspres menghentikan terus perkhidmatan mereka dan tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya terdapat keperluan mengurangkan jumlah perjalanan atau bercadang menggantung sementara perkhidmatan mereka sepanjang tempoh PKP.

Menterinya Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, ini memandangkan permintaan menurun secara mendadak ke atas perkhidmatan bas ekspres namun buat masa ini operasinya diteruskan bagi menyediakan keperluan kepada individu terbabit.

Katanya, pihaknya juga bekerjasama dengan semua kerajaan negeri bagi memantau perkembangan terkini di terminal dan jalan raya dari semasa ke semasa untuk tindakan selanjutnya bagi sektor perkhidmatan pengangkutan awam.

“Seperti mana diumumkan Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, Kementerian Pengangkutan ingin sekali lagi menegaskan bahawa semua mod pengangkutan awam di seluruh negara hanya akan dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi ke 10 pagi dan 5 petang ke 10 malam sahaja setiap hari, berkuatkuasa mulai 25 Mac 2020 sepanjang tempoh PKP.

“Mod pengangkutan awam darat terbabit adalah bas henti-henti, bas percuma seperti GoKL dan Smart Selangor, semua ‘feeder’ bas, perkhidmatan rel LRT, MRT, Monorel, ERL dan KTMB. Bagaimanapun, perkhidmatan teksi dan e pengangkutan masih boleh meneruskan operasi seperti biasa, mengikut garis panduan yang telah ditetapkan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Ka Siong berkata, kementeriannya mengambil maklum bahawa mod pengangkutan awam menjadi kebergantungan masyarakat khususnya golongan B40 dan bagi memastikan PKP dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, keputusan itu perlu dilakukan.

Katanya, ia selari dengan tujuannya iaitu memutuskan rantaian jangkitan pandemik Covid-19 dengan mengelakkan orang ramai daripada berhimpun termasuk di dalam pengangkutan awam, tempat perhentian atau stesen dan terminal.

“Berdasarkan rekod, setakat 16 hingga 22 Mac, bas termasuk bas henti-henti, bas percuma seperti GoKL dan Smart Selangor, semua ‘feeder’ bas mencatat penurunan purata sebanyak 91.63 peratus, komuter (89.25 peratus), Rapid Rail termasuk LRT, MRT, Monorel (95.09) dan ERL sebanyak 87.08 peratus.,” katanya.

Sebarang aduan atau pertanyaan boleh dibuat menerusi emel ke [email protected], atau WhatsApp ke 019-2907723, hotline MOT1800-88-7723 (8 pagi hingga 8 malam) atau boleh menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara, Majlis Keselamatan Negara, di talian 03-88882010.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 5:19 PM