Hasni menyampaikan sumbangan program Temashor  Ramadan Majlis Belia Daerah Pontian di Sekolah Agama Sanglang, Benut, di sini, selain kepada beberapa keluarga asnaf, semalam. FOTO IHSAN ADUN
Hasni menyampaikan sumbangan program Temashor  Ramadan Majlis Belia Daerah Pontian di Sekolah Agama Sanglang, Benut, di sini, selain kepada beberapa keluarga asnaf, semalam. FOTO IHSAN ADUN
Mohamed Farid Noh


Pontian: Syarikat konsesi lebuh raya diminta menghentikan kerja-kerja penyelenggaran, naik taraf dan pembaikan jalan dua minggu sebelum sambutan Aidilfitri bagi mengelakkan berlaku kesesakan luar biasa.

Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, ia penting bagi membantu penyuraian trafik sepanjang lebuh raya termasuk plaza tol serta kawasan rehat dan rawat (R&R).

Menurutnya, syarikat konsesi diminta memulakan pelan perancangan bagi memastikan tidak berlaku kerja naik taraf atau penyelenggaraan pada saat akhir yang boleh memberikan kesan kepada pengguna.

Katanya, LLM sudah memaklumkan arahan itu kepada semua syarikat konsesi lebuh raya bagi tindakan lanjut.

"LLM maklum kesesakan tidak dapat dielakkan pada musim perayaan apatah lagi jangkaan lebih dua juta kenderaan akan menggunakan rangkaian lebuh raya di negara ini menjelang Aidilfitri nanti.

"Kita menjangkakan waktu puncak musim Aidilfitri ini adalah pada 7 April hingga 9 April serta 13 April hingga 14 April.

"Ia ketika orang ramai mula pulang ke kampung halaman dan pulang semula ke ibu kota untuk bekerja dan anak-anak bersekolah semula.

"Oleh itu, syarikat konsesi lebuh raya perlulah menghentikan segala kerja naik taraf dan penyelenggaran dua minggu sebelum Aidilfitri bagi mengelakkan kesesakan menjadi lebih teruk dan sukar dikawal," katanya

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Temashor Ramadan Majlis Belia Daerah Pontian di Sekolah Agama Sanglang, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benut berkata, LLM menyarankan orang ramai supaya merancang perjalanan pulang ke kampung bagi mengelakkan kesesakan luar biasa pada waktu puncak.

"Saya juga dimaklumkan pusat-pusat kawalan trafik yang diuruskan oleh syarikat konsensi atau LLM bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan menyusun jadual perjalanan di lebuh raya untuk mengelakkan perjalanan kampung secara serentak.

"Ia termasuk pengaktifan sementara lorong kecemasan sebagai 'Smartlane' di laluan kritikal dan juga pembukaan laluan kontra akan diumumkan di beberapa lokasi dikenal pasti bagi membantu kelancaran aliran trafik," katanya yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2024 @ 3:21 PM