GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuching: Polis Sarawak kini sedang giat mengesan suspek disyaki membaling botol kaca berisi minyak tanah atau 'Molotov Cocktail' ke sebuah kedai serbaneka KK Mart di Jalan Satok di sini awal pagi semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata ketika dihubungi Bernama hari ini berkata kejadian jam 1 pagi itu menyebabkan kebakaran kotak mengandungi air minuman di kaki lima hadapan kedai serbaneka itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata pihaknya telah menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun yang juga pekerja kedai serbaneka itu, semalam.

"Orang ramai diingatkan tidak melakukan perbuatan di luar batas undang-undang dalam hal ini dan memberikan ruang proses perundangan yang sedia ada," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut boleh menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan Ceremina Nasim di talian 013-8554168 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran.

Kejadian di Sarawak ini adalah insiden ketiga membabitkan KK Mart selepas tercetus kontroversi jualan stoking tertera kalimah Allah.

Pada 26 Mac lalu, sebuah cawangan kedai serbaneka itu di Bidor, Perak dibaling dengan bom petrol kira-kira jam lima pagi.

Kejadian kedua, berlaku pada 30 Mac lalu di KK Super Mart Sungai Isap, Kuantan Pahang, pada jam 5.40 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2024 @ 10:21 PM