DR Muhamad Akmal Saleh. FOTO arkib NSTP
DR Muhamad Akmal Saleh. FOTO arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh berpandangan siasatan perlu dilakukan terlebih dulu sebelum menyalahkan mana-mana pihak susulan insiden kedua melempar bom petrol di cawangan kedai serbaneka KK Super Mart.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka itu berkata, pihaknya menggesa agar siasatan segera dapat dilakukan dan pelaku dikenakan hukuman yang berat tanpa mengira individu itu daripada mana-mana pihak.

"Kita mengecam sekeras-kerasnya tindakan keganasan dari hari pertama lagi.

"Kita mohon agar siasatan segera dapat dilakukan dan pelaku dikenakan hukuman yang berat tidak kira pelaku dari mana-mana pihak sekalipun," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak yang mendorong pemboikotan kedai serbaneka KK Super Mart perlu mengambil tanggungjawab meredakan dan menghentikan terus perbuatan membakar sentimen orang ramai.

Saifuddin berkata, ia susulan kejadian kedua melempar bola api ke cawangan KK Super Mart di Sungai Isap, Kuantan, pada jam 5 pagi Sabtu.

Menurutnya, tindakan itu menimbulkan keresahan penduduk setempat dan rakyat keseluruhannya menjelang tibanya Aidilfitri.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal berkata, pihaknya juga kekal tenang dan menggesa agar boikot di kedai serbaneka KK Super Mart diteruskan.

"Kita kekal tenang dan teruskan boikot," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 10:56 AM