Pegawai KDN (kanan) membawa tertuduh Sum Yew Hom (kiri) 41 tahun ketika Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membuat pertuduhan terhadap suspek membabitkan kesalahan menerbitkan Al-Quran tidak mengikut Undang-Undang di Mahkamah Petaling Jaya. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Pegawai KDN (kanan) membawa tertuduh Sum Yew Hom (kiri) 41 tahun ketika Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membuat pertuduhan terhadap suspek membabitkan kesalahan menerbitkan Al-Quran tidak mengikut Undang-Undang di Mahkamah Petaling Jaya. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Petaling Jaya: Seorang pengarah syarikat percetakan didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas didapati bersalah mengupah syarikat milik bukan Islam bagi menjilid 3,800 naskah al-Quran.

Majistret Farah Azura Mohd Saad menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Hatim Ab Wahab, 34, mengaku salah atas pertuduhan itu.

"Kamu (Muhammad Hatim) diberikan kuasa mencetak, kamu kena tahu siapa apa yang boleh buat (jilid) al-Quran.

"Tidak perlu diajar, kita orang Islam, kita kena tahu. Betul tak? sensitiviti kena jaga," kata Farah Azura sebelum menjatuhi hukuman itu.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Hatim didakwa melanggar peraturan syarat lesen dikeluarkan Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Percetakan al-Quran (LPPPQ) kerana membenarkan kitab suci itu dijilidkan oleh sebuah kilang milik bukan Islam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kilang milik Hua Mei Industry Sdn Bhd di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan di sini, jam 3.05 petang, 7 Mac lalu.

Pada prosiding sama, Pengarah Syarikat Hua Mei Industry Sdn Bhd Sum Yew Hom, 41, didakwa melakukan kesalahan menjilid kitab suci al-Quran tanpa lesen pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Lelaki tempatan itu didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Percetakan al-Quran 1986 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(6) yang memperuntukkan hukuman sama.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Surieyani A Razak dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) Selangor memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap kedua-dua tertuduh.

"Hukuman setimpal itu supaya industri bidang pencetakan lebih bertanggungjawab terhadap penjagaan dan pengendalian al-Quran," katanya.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah dan memohon hukuman ringan dikenakan ke atas mereka.

Muhammad Hatim berkata, syarikatnya, Tihani Cetak Sdn Bhd mengupah Hua Mei Industry Sdn Bhd kerana mempunyai kelengkapan lengkap untuk menjilidkan al-Quran dan ramai pekerja syarikat itu adalah orang Islam.

"Kesilapan ini kami terlepas pandang. Kami meminta maaf di atas kesilapan yang berlaku dan berjanji tidak akan mengulanginya, selain ini adalah kesalahan pertama," rayu Muhammad Hatim.

Yew Hom pula merayu hukuman denda minimum atas alasan tidak tahu menjilid al-Quran dilakukan syarikatnya adalah satu kesalahan.

"Saya diupah untuk menjilid al-Quran saja, tak tahu itu kesalahan. Ini adalah kesalahan pertama dihadapi saya dan mohon hukuman dikurangkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 2:04 PM