LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Redzuan Muharam


Kajang: "Saya berbuka di luar kelmarin namun emak dan ayah ada cerita yang mereka terbuka awal," kata pemuda dikenali Ahmed yang juga penduduk Prima Saujana, di sini.

Ahmed, 20, berkata demikian ketika ditanya mengenai laungan azan Maghrib empat minit lebih awal sebelum masuk waktu sebenar di Masjid Prima Saujana, Kajang, Selangor kelmarin.

Menurut Ahmed, rumahnya terletak berhampiran masjid berkenaan jadi memang akan mendengar laungan azan setiap kali masuk waktu solat fardu.

"Cuma hari berkenaan, saya tak ada di rumah jadi tak batal puasa kerana buka ikut waktu.

"Emak dan ayah yang terbatal kerana mereka buka puasa selepas dengar laungan azan di masjid.

"Kejadian itu kelmarin namun baru tular semalam," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Seorang lagi penduduk Prima Saujana, Juwana Mohamed Mokhtaruddin, 54, berkata, dia tidak berbuka puasa mengikut laungan azan Maghrib dari Masjid Prima Saujana walaupun kedengaran jelas dari rumahnya.

Bagaimanapun, Juwana menyedari azan Maghrib kelmarin dilaungkan lebih awal selepas diberitahu anaknya.

"Ikutkan laungan azan memang kuat dan boleh dengar dengan jelas dari rumah saya.

"Tapi pada hari itu, saya buka puasa ikut azan di telefon bimbit jadi terselamat.

"Anak yang tinggal dengan saya pun sedar azan dari masjid itu dilaungkan awal tapi kami buka (puasa) sama ikut azan di telefon bimbit," katanya.

Terdahulu, pengurusan Masjid Prima Saujana Kajang memohon maaf kepada jemaah kerana melaungkan azan Maghrib empat minit lebih awal sebelum masuk waktu sebenar kelmarin kerana masalah teknikal.

Nazir Masjid Prima Saujana Kajang, Mohamad Asri Harun, dalam satu kenyataan di Facebook (Fb) memaklumkan puasa jemaah yang bergantung semata-mata pada laungan azan Maghrib dari Masjid Prima Saujana Kajang untuk berbuka puasa pada hari berkenaan adalah terbatal dan perlu diganti atau diqada.

Menurut Mohamad Asri, pihak sudah merujuk perkara berkenaan kepada JAIS dan kesal dengan segala kesulitan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2024 @ 5:58 PM