MASJID Jame' Badlishah Pekan Yan. FOTO Ihsan Pembaca.
MASJID Jame' Badlishah Pekan Yan. FOTO Ihsan Pembaca.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Umat Islam yang bergantung kepada laungan azan Masjid Jame' Badlishah, Pekan Yan untuk berbuka puasa pada 30 Mac lalu perlu melakukan puasa ganti atau qada.

Ini selepas berlaku kesilapan apabila azan masjid itu dilaungkan dua minit lebih awal berbanding waktu berbuka ditetapkan iaitu pada 7.28 malam.

Timbalan pengerusi masjid itu, Ahmad Nasir berkata, kesilapan itu terjadi disebabkan berlakunya masalah teknikal pada paparan digital waktu azan di masjid berkenaan.

"Jemaah yang bergantung semata-mata kepada laungan azan Maghrib dari Masild Jame' Badlishah Pekan Yan untuk berbuka puasa, sila maklum bahawa puasa tuan dan puan terbatal pada hari tersebut dan perlu diganti atau diqada," katanya dalam kenyataan yang diedar kepada penduduk sekitar.

Ahmad berkata, hukum menggantikan puasa itu bersandarkan pandangan Jumhur Ulama daripada kalangan Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan dalam kalangan ramai ulama Hambali yang menyatakan bahawa puasa itu batal dan wajib diqada.

"Jemaah boleh merujuk syarah hukum melalui Bayan Linnas Siri ke-97, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bertarikh 18 Jun 2017 untuk penjelasan lanjut.

"Pihak masjid sekali lagi memohon maaf di atas kesilapan dan kesulitan yang berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 4:52 PM