FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Gangguan bekalan air di Kelantan semakin pulih sejak semalam selepas Loji Rawatan Air di Kelar, Pasir Mas, sudah beroperasi seperti biasa.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin berkata, ia hasil kerja keras semua pasukan bagi mengatasi masalah berkenaan.

"Dari krisis kepada tindakan, berpadu tenaga melawan masa. Loji Rawatan Air Kelar, Pasir Mas sudah pulih seperti biasa.

"Tahniah semua," katanya menerusi status di Facebook miliknya.

Media sebelum ini melaporkan, musim kemarau berterusan menyebabkan penurunan paras air yang kritikal di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Kelar, Pasir Mas.

Susulan itu, sebanyak 48,635 akaun membabitkan beberapa kampung dari Pasir Mas dan Tumpat yang menggunakan bekalan air dari LRA Kelar, mengalami gangguan bekalan air.

Menurut kenyataan dikeluarkan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) berkata, paras air sungai ketika ini berada pada paras 0 meter di bawah muka sauk LRA Kelar sekali gus memberi kesan terhadap dua jajahan iaitu jajahan Tumpat membabitkan 13,381 akaun, manakala Pasir Mas dengan 35,254 akaun.

Susulan masalah yang berlaku, penduduk yang terkesan terpaksa mencatu air untuk main selain membeli air mineral bagi melakukan aktiviti seharian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 10:06 AM