Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Sempena Nuzul Quran, pusat beli-belah sehenti, KWC Fashion Wholesale menyantuni 20 anak yatim dan dua keluarga asnaf bagi menceriakan mereka yang kurang bernasib baik.

Pengurus Pengiklanan dan Promosi KWC Fashion Wholesale, Wendy Lam berkata, anak yatim terdiri daripada penduduk Sri Selangor manakala dua keluarga asnaf dibawa oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Iltizam Relief Society.

Menurutnya, ia adalah tahun kelima program itu dianjurkan dan dibantu oleh Persatuan Sri Selangor yang menguruskan pencarian sukarelawan selain penyediaan bubur lambuk dan pengagihan 1,000 bungkus bubur lambuk sebagai aktiviti sampingan.

"Tujuan program hari ini adalah memberi yang terbaik dan kegembiraan kepada penduduk setempat memerlukan untuk berbelanja sempena hari raya tidak lama lagi.

"Penyewa (dalam pusat beli-belah) beri kerjasama dengan beri diskaun 50 peratus.

"Diharap program ini dapat diteruskan kerana kita nak bantu lebih ramai orang dan memberi pengalaman berbelanja yang menyeronokkan kepada komuniti," katanya ketika ditemui Harian Metro selepas majlis pelancaran Program Sinar Ramadan di KWC Fashion Wholesale, di sini, hari ini.

Sharifah Shahirah membawa keluarga asnaf membeli baju raya. ketika majlis pelancaran program Sinar Ramadan KWC dan Agihan Bubur Lambuk bersama Sharifah Shahirah di KWC Fashion Wholesale. FOTO AZIAH AZMEE
Sharifah Shahirah membawa keluarga asnaf membeli baju raya. ketika majlis pelancaran program Sinar Ramadan KWC dan Agihan Bubur Lambuk bersama Sharifah Shahirah di KWC Fashion Wholesale. FOTO AZIAH AZMEE

Program meriah dengan penampilan pelakon dan penyampai radio, Sharifah Shahirah sebagai pengacara majlis selain persembahan penyanyi Elmy Rahman dan kumpulan Gamelan yang diundang bagi menghiburkan tetamu.

Di samping membantu membantu keluarga asnaf dan anak yatim, Fashion Wholesale juga tidak ketinggalan menaja majlis berbuka puasa jumaat Surau Al-Aslahiyah yang berdekatan di sini sebanyak RM1,300.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Iltizam Relief Society, Mohd Shah Sapiei gembira kerana dapat menjalin kerjasama dengan KWC Fashion Wholesale dalam penganjuran program berkenaan.

Mohd Shah Sapiei berkata, dua keluarga asnaf dibawa bersama dengan 20 anak yatim bagi memberi peluang kepada mereka membeli pakaian raya.

"Pemilihan keluarga itu dibuat selepas berjumpa dengan mereka, melihat keadaan dan mengambil kira faktor kesihatan serta latar belakang.

"Kita bawa dua keluarga, satu yang ada empat anak berpenyakit dan mualaf.

"Ini adalah kerjasama pertama dengan KWC Fashion Wholesale dan berharap ia dapat diteruskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 3:54 PM