Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang meneliti tiga teknologi baharu yang mungkin akan dilaksanakan bagi menambah baik perkhidmatan internet di negara ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, teknologi baru muncul itu antaranya dikenali sebagai 'direct to devices' atau terus ke peranti.

"Ia bermakna kita tidak bergantung harap kepada menara-menara untuk memancarkan signal tetapi kita boleh menggunakan telefon untuk berkomunikasi terus dengan satelit dan satelit itulah menjadi menara.

"Ini teknologi baru yang mungkin akan dilaksana sekitar 2025," katanya semasa sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Edwin Banta (GPS-Selangau) yang bertanyakan apakah pelan tindakan alternatif bagi meningkatkan akses jalur lebar dapat sampai ke kawasan luar bandar.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, teknologi baru lain adalah penggunaan satelit orbit rendah bumi seperti Starlink untuk menyediakan 'backhaul' kepada menara di beberapa lokasi seluruh negara.

Katanya, teknologi baru ketiga adalah penggunaan jalur lebar tetap bagi membantu 'backhaul' menara yang jauh daripada kawasan gentian optik.

Beliau dalam masa sama turut menyatakan usaha menaik taraf jalur lebar di seluruh negara termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman juga sedang diperluaskan secara berperingkat melalui Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

"Secara keseluruhan, setakat 31 Januari 2024, sebanyak 2,395 menara baharu daripada 3,884 yang dirancang siap dan beroperasi.

"Sebanyak 39,983 buah stesen pemancar sudah siap dinaik taraf daripada 40,214 yang dirancang dan sebanyak 3.32 juta premis telah tersedia dengan rangkaian gentian optik daripada 4.19 juta yang dirancang.

"Kesemua inisiatif yang dirancang dijangka siap dan akan beroperasi secara berperingkat pada penghujung tahun 2025," katanya.

Fahmi berkata, kerajaan turut melaksanakan projek penyediaan perkhidmatan internet menggunakan teknologi satelit yang telah siap di 839 lokasi di kawasan pedalaman di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 12:58 PM