Keadaan di Pangkalan Haram Padang Bola, Rantau Panjang. FOTO Syaherah Mustafa
Keadaan di Pangkalan Haram Padang Bola, Rantau Panjang. FOTO Syaherah Mustafa
BERNAMA

Kota Bharu: Polis terus memperketatkan kawalan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini sepanjang musim kemarau dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan susulan air Sungai Golok mulai kering sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kawalan keselamatan berkenaan menerusi rondaan akan terus dipergiatkan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA).

Beliau berkata, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang cuba menyeberang sempadan secara haram susulan air cetek di sungai berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan paras air Sungai Golok mulai kering akibat kemarau membabitkan beberapa kawasan seperti Kampung Chabang Tiga Bagus dan Lubok Gong di Pasir Mas, di sini.

"Kalau hendak masuk ke kawasan sempadan mesti ada permit yang sah sama ada naik kereta atau motosikal," katanya dalam sidang media selepas menyaksikan majlis serah tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Terdahulu, Pemangku Ketua Cawangan Khas Kelantan Asisten Komisioner Nor Azmi Che Musa menyerahkan jawatannya kepada Senior Asisten Komisioner Ahmad Norisham Maarus yang dilantik sebagai Ketua Cawangan Khas Kelantan yang baharu.

Berikutan itu, Pemangku Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kelantan Superintendan Mohamad Hamizi Abdullah menyerahkan jawatan itu kepada Timbalan Ketua JPJKK Kelantan yang dilantik sebagai Ketua JPJKK Kelantan yang baharu.

Kedua-dua pelantikan jawatan pegawai kanan polis berkenaan berkuat kuasa hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2024 @ 6:54 PM