ABDUL Wahab meninggal dunia ketika membaca al-Quran selepas solat subuh di Masjid Nurul Hasanah Bukit Kechil Simpor, Tikam Batu. FOTO Ihsan pembaca
ABDUL Wahab meninggal dunia ketika membaca al-Quran selepas solat subuh di Masjid Nurul Hasanah Bukit Kechil Simpor, Tikam Batu. FOTO Ihsan pembaca
Izad Thaqif Hassan

Sungai Petani: "Arwah terbaring kaku menghadap kiblat seolah-olah tahu dia akan pergi buat selamanya," kata Azizan Muhamad, 52, imam Masjid Nurul Hasanah Bukit Kechil Simpor, Tikam Batu di sini.

Azizan berkata demikian ketika menceritakan kematian Abdul Wahab Mat Noh, 54, yang meninggal dunia di ruang solat masjid terbabit selepas solat Subuh, semalam.

Dalam kejadian 7 pagi, tukang kebun sebuah sekolah di sini itu ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring ketika membaca al-Quran di ruang solat masjid berkenaan.

Menurut Azizan, dia dimaklumkan kejadian itu selepas selesai mengimamkan solat Subuh apabila diberitahu ada jemaah tidak sedarkan diri.

"Saya kemudian melihat dengan lebih dekat, jemaah berkenaan ialah arwah Abdul Wahab dan ketika itu saya sudah mengesyaki arwah meninggal dunia.

"Melihatkan keadaan jenazahnya ketika itu memang terasa wajah arwah sangat tenang dan sejuk mata memandang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

ABDUL Wahab disifatkan sebagai seorang yang sangat baik hati. FOTO Ihsan pembaca
ABDUL Wahab disifatkan sebagai seorang yang sangat baik hati. FOTO Ihsan pembaca

Bercerita lanjut keperibadian arwah, Azizan berkata, arwah setiap hari akan ke masjid menunaikan solat dan juga menghadiri kuliah dan disifatkan sebagai seorang yang sangat baik hati.

"Sepanjang mengenalinya, arwah memang seorang yang bagus serta tidak mempunyai masalah dengan sesiapa dan tidak pernah saya melihatnya memarahi orang.

"Bagi saya, arwah adalah seorang yang mempunyai ramai kawan dan mudah disenangi orang, selain tiada musuh," katanya.

Katanya, sehari sebelum itu dia sempat berbual dengan arwah, namun tiada sebarang petanda ganjil atau pelik yang ditunjukkan.

Jenazah Abdul Wahab dikebumikan selepas solat Isyak di Tanah Perkuburan Islam Masjid Nurul Hasanah Bukit Kechil Simpor, Tikam Batu, semalam.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Februari 2022 @ 6:12 PM