Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan (kiri) menunjukkan barangan kes antaranya 453 buah telefon bimbit dan komputer riba yang dirampas selepas menumpaskan sindiket pelaburan luar negara ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pulau Pinang di sini. FOTO DANIAL SAAD
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan (kiri) menunjukkan barangan kes antaranya 453 buah telefon bimbit dan komputer riba yang dirampas selepas menumpaskan sindiket pelaburan luar negara ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pulau Pinang di sini. FOTO DANIAL SAAD
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Polis menumpaskan sindiket pelaburan tidak wujud dengan penahanan 21 individu termasuk warga China dalam serbuan di dua premis di Batu Feringghi, di sini, Sabtu lalu.

Serbuan dilakukan bermula 7 malam berdasarkan maklumat awam turut merampas pelbagai gajet bagi membantu siasatan kegiatan penipuan itu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, pihaknya menahan 13 individu tempatan terdiri 12 lelaki dan seorang wanita berusia 23 hingga 37 tahun dalam serbuan pertama.

Menurutnya, serbuan berikutnya kemudian menahan lima lelaki dan tiga perempuan warga China berusia 25 hingga 34 tahun.

"Aktiviti mereka terbongkar susulan penahanan dua lelaki termasuk warga China dalam keadaan mencurigakan di sekatan jalan raya (SJR) di Batu Feringghi.

"Sebanyak 453 telefon bimbit, komputer riba (19), kabel komputer (5), kereta (2) dan sebuah Ipad dirampas dalam dua serbuan itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Sahabudin berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai menawarkan pelaburan saham atas talian disyaki tidak wujud membabitkan pelabur warga China.

"Ahli sindiket berinteraksi dengan mangsa menggunakan aplikasi WeChat bagi menawarkan pelaburan dan urusan pembayaran.

"Operasi sindiket itu dijalankan di Malaysia bagi mengelakkan dikenakan hukuman mengikut undang-undang China memandangkan mangsa adalah dalam kalangan rakyat negara terbabit," katanya.

Menurutnya, sindiket itu dipercayai sudah beroperasi di negeri ini sejak dua bulan lalu dengan menyewa dua rumah dua tingkat, di sini.

Katanya, kesemua suspek yang ditahan menerima bayaran atau gaji antara RM2,000 hingga RM4,000 sebulan bagi mencari 'mangsa'.

"Walaupun sasaran mangsa adalah warga China, namun polis masih menyiasat sama ada terdapat warga Malaysia menjadi mangsa.

"Empat daripada lapan suspek warga China itu juga tiada dokumen pengenalan diri dan mereka diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 3:15 PM