SEBAHAGIAN tertuduh yang didakwa terlibat dengan Geng Upik diiring anggota polis keluar dari lokap mahkamah untuk dibawa ke Penjara Pusat Kota Kinabalu di Kepayan selepas sebutan kes pertuduhan berhubung jenayah terancang Geng Upik di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
SEBAHAGIAN tertuduh yang didakwa terlibat dengan Geng Upik diiring anggota polis keluar dari lokap mahkamah untuk dibawa ke Penjara Pusat Kota Kinabalu di Kepayan selepas sebutan kes pertuduhan berhubung jenayah terancang Geng Upik di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Dua lagi individu termasuk seorang wanita didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Upik di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Ia menjadikan seramai 13 individu didakwa menganggotai kumpulan itu selepas 11 individu termasuk seorang bergelar datuk didakwa pada 22 Januari lalu.

Kedua-dua tertuduh yang dituduh ialah Norsyafilah Pawawoi, 28 dan Zulkahar Dusing, 29, masing-masing didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Norsyafilah dituduh menganggotai Geng Upik di Kota Kinabalu antara 2015 hingga 28 Julai 2016, manakala Zulkahar menjadi ahli kumpulan sama antara 2021 hingga 3 Mei 2023.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan dirakam terhadap tertuduh.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dipenjara antara lima hingga 20 tahun.

Ketika ini Norsyafilah sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun sejak 2018 atas kesalahan mengedar dadah, manakala Zulkahar menjalani tahanan reman di Tawau.

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lina Hanini Ismail.

Mahkamah menetapkan 22 Mac untuk sebutan semula kes.

Pada 22 Januari lalu, seramai 11 individu iaitu Rahman Burijin, 44; Jaisalfian Jaineh @ Zaini, 45,; Mohd Fauzie Rablin, 33; Shahlan Shah Abdul Samad, 37; Datuk Maslan Sani, 41; Nelson Yen Yee Chung, 46; Mohd Faridzul Asmahadi, 31; Fazrul Bahar, 32; Alkan Abraham, 35; Mazlan Mahmud, 41; dan Mahathir Jibarail, 49.

Pada 25 Disember lalu, polis menahan ahli perniagaan bergelar datuk yang mendalangi sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah menerusi siri serbuan yang dilakukan polis Bukit Aman.

Lelaki itu turut menaungi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi melindungi kegiatan haram sejak 2015.

Sindiket berkenaan juga dikesan melakukan pengubahan wang haram melalui pelbagai perniagaan mewah yang dijalankan ahli sindiketnya termasuk syarikat minyak dan gas serta rangkaian restoran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 12:47 PM