DATUK Mohd Tamrin ketika sidang media selepas selesai memberi keterangan kira-kira tiga jam kepada polis berhubung kenyataan berbaur hasutan terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang dimuat naik menerusi blog miliknya, di Bukit Aman.
DATUK Mohd Tamrin ketika sidang media selepas selesai memberi keterangan kira-kira tiga jam kepada polis berhubung kenyataan berbaur hasutan terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang dimuat naik menerusi blog miliknya, di Bukit Aman.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


ANAK sulung bekas Timbalan Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba, Datuk Mohd Tamrin hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini bagi membantu siasatan berhubung satu artikel berbaur hasutan di blog peribadinya.

Mohd Tamrin hadir bersama peguam memberi keterangan selama tiga jam di Bukit Aman bermula jam 11 pagi tadi.

Mohd Tamrin ketika ditemui berkata, beliau memberi kerjasama penuh kepada polis berhubung perkara ini.

“Saya jawab semua perkara yang ditulis dalam artikel itu kepada pihak polis untuk siasatan mereka,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Risikan dan Operasi Datuk Mohd Roze Shaari ketika dihubungi mengesahkan polis mengambil keterangan Mohd Tamrin hari ini.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya

Terdahulu media semalam melaporkan polis akan mengambil keterangan Mohd Tamrin yang dilapor memuat naik artikel di blog peribadi bertajuk ‘TMJ - Bodoh Sombong Yang Tak Boleh Diajar’ pada 1 Februari lalu.

Hantaran itu dipercayai merujuk kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 4:51 PM