Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao (kiri) dan Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superitenden Mohd Rahimi Zainol pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara di Dewan Kilat TNB Kapar, Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao (kiri) dan Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superitenden Mohd Rahimi Zainol pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara di Dewan Kilat TNB Kapar, Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Amirul Aiman Hamsuddin


Klang: Perebutan kawasan dikatakan menjadi punca kejadian penyelia pengawal keselamatan cedera akibat ditembak jarak dekat di Jalan Mokhtar, Kapar, di sini, 6 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao bagaimanapun menafikan kejadian itu mempunyai kaitan dengan aktiviti kongsi gelap.

"Kejadian ini dipercayai lebih kepada merebut kawasan untuk tujuan kawalan keselamatan.

"Pada masa sama, semakan mendapati mangsa lelaki warga tempatan berusia 46 tahun itu mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah," katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara di Kelab Kilat Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kapar, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Vijaya Rao menyaksikan serah tugas antara Superintendan Mohd Khairi Shafie kepada Superintendan Mohd Rahimi Zainol.

Dalam perkembangan sama, Vijaya Rao memaklumkan polis masih memburu suspek utama yang terbabit dalam kejadian itu.

Beliau berkata, hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan suspek adalah palsu.

"Pada malam kejadian, polis menahan lima individu untuk membantu siasatan.

"Namun mereka yang juga rakan mangsa dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan," katanya.

Terdahulu, media melaporkan mangsa ditembak di bahagian tangan kanan, rusuk kanan dan bahu kanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 10:33 PM