GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Omar Ahmad


Johor Bahru: Polis menyelamatkan empat wanita warga India, yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia untuk tujuan eksploitasi seks, semalam.

Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar berkata, sekumpulan wanita berusia 24 hingga 39 tahun itu diselamatkan sepasukan polis dari cawangan kongsi gelap, judi dan maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, lebih kurang 2.15 petang.

Katanya, kesemua mangsa diselamatkan hasil serbuan yang dijalankan di sebuah pangsapuri di kawasan Larkin Idaman, di sini.

"Dalam serbuan sama, polis juga berjaya menangkap seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun dan wanita warga India berusia 36 tahun yang dipercayai berperanan sebagai pengurus rumah persundalan dan transporter.

"Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas tangkapan mendapati lelaki terbabit positif dadah methaphetamine," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati kesemua mangsa ke Malaysia dengan tawaran kerja di bahagian Teknologi Maklumat (IT) dan sebagai pembantu rumah,

Bagaimanapun, katanya, kesemua mangsa dikurung setibanya di Malaysia dan dipaksa menjadi pelacur dengan bayaran gaji RM2,300 sebulan.

"Kedua suspek ditahan reman tujuh hari bermula hari ini hingga 22 Mac depan, manakala perintah perlindungan sementara bagi kesemua mangsa dibenarkan selama 21 hari bermula hari ini hingga 5 April depan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007, Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2024 @ 9:09 PM