BERNAMA

Berlin: Malaysia dan Jerman hari ini menggesa supaya gencatan senjata kekal dilaksanakan di Semenanjung Gaza selain pembebasan tawanan, manakala bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin disegerakan.

Ketika membuat gesaan itu, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Canselor Jerman Olaf Scholz berkata, komuniti antarabangsa perlu merealisasikan penyelesaian dua negara bagi menoktahkan konflik yang sudah berlanjutan selama beberapa dekad di Timur Tengah.

"Kadangkala kita berbeza pendapat namun saya rasa dalam isu seperti peperangan di Gaza, kita mencapai kata sepakat bahawa gencatan senjata perlu dilaksanakan segera manakala bantuan kemanusiaan disalurkan kepada rakyat Palestin," katanya pada sidang akhbar bersama Scholz.

Terdahulu, Anwar yang berada di Berlin dalam rangka lawatan rasmi enam hari ke Jerman mengadakan mesyuarat dua hala dengan Scholz dan konflik di Gaza, penyelesaian dua negara serta kesengsaraan rakyat Palestin adalah antara isu yang dibincangkan.

Anwar berkata, Malaysia mengakui bimbang dengan insiden pada 7 Oktober 2023 ketika konflik antara Hamas dengan Israel bermula, namun merayu kepada masyarakat Eropah dan Jerman khususnya untuk mengambil maklum fakta bahawa kekejaman, penindasan dan perampokan ke atas rakyat Palestin sudah berlaku selama berdekad-dekad sebelum itu.

Anwar Ibrahim bersama Olaf Scholz ketika sidang akhbar bersama pada Majlis Sambutan Rasmi bersempena dengan lawatan rasmi enam hari beliau di Federal Chancellery, hari ini. FOTO BERNAMA
Anwar Ibrahim bersama Olaf Scholz ketika sidang akhbar bersama pada Majlis Sambutan Rasmi bersempena dengan lawatan rasmi enam hari beliau di Federal Chancellery, hari ini. FOTO BERNAMA

Bercakap mengenai isu sama, Scholz berkata, Jerman yang dikenali sebagai sekutu Israel bersetuju dengan Malaysia bahawa gencatan senjata kekal perlu dilaksanakan bagi mencari penyelesaian secara aman dalam krisis di Gaza.

Canselor Jerman itu berkata, mereka kini menjalin kerjasama rapat dengan Amerika Syarikat dan negara-negara Arab bagi mengekang peningkatan pertempuran serta mencari penyelesaian kepada krisis berkenaan.

"Saya harap kita akan dapat merealisasikan pelaksanaan gencatan senjata kekal sepanjang Ramadan ini pembebasan tawanan oleh Hamas. Ini boleh membawa kepada penyaluran lebih banyak bantuan ke Gaza," kata Scholz yang menambah beliau gembira Anwar memilih untuk berkunjung ke Jerman pada hari pertama Ramadan dan berbuka puasa dengan delegasi Malaysia.

Ditanya sama ada pertemuan hari ini mampu mempengaruhi pelaksanaan gencatan senjata serta-merta di Gaza, Anwar berkata, kedua-dua negara boleh memainkan peranan masing-masing dalam mencari penyelesaian berhubung perkara itu.

"Jerman mempunyai hubungan yang baik dengan Israel dan kami mempunyai hubungan yang sedikit lebih baik dengan Palestin. Satu-satunya penyelesaian ketika ini ialah gencatan senjata kekal, manakala penyelesaian akhir ialah dua negara dan ini boleh dilakukan jika komuniti antarabangsa mempunyai keberanian dan komitmen," kata Perdana Menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2024 @ 8:54 AM