Presiden Persatuan OKU Sentral, Senator (R) Datuk (Dr) Ras Adiba Radzi menyampaikan ucapan pada soladariti untuk Gaza anjuran OKU sentral hari ini. FOTO ROHANIS SHUKRI
Presiden Persatuan OKU Sentral, Senator (R) Datuk (Dr) Ras Adiba Radzi menyampaikan ucapan pada soladariti untuk Gaza anjuran OKU sentral hari ini. FOTO ROHANIS SHUKRI
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Badan bukan kerajaan (NGO), OKU Sentral menggesa masyarakat dunia segera menghentikan kekejaman terhadap penduduk Palestin.

Presiden Persatuan OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, serangan Israel terhadap Gaza patut dihentikan.

Katanya, lebih 23,000 nyawa hilang dalam serangan Israel di Gaza, ditambah dengan nasib jutaan rakyat Gaza yang hilang tempat tinggal.

"Konflik ini memerlukan penyelesaian dan perdamaian segera. Kita juga perlu memastikan bantuan kemanusiaan segera sampai kepada penduduk Gaza yang terjejas teruk.

"Solidariti OKU Sentral ini bukti kemanusiaan dan keperluan mendesak untuk gencatan senjata di Gaza," katanya di Majlis Solidariti Untuk Gaza di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPAC) di sini, tadi.

Turut hadir sebagai tetamu kehormat dan wakil dari kedutaan Palestin serta warganegara Palestin, Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, dalam ucapannya Mahathir berkata, beliau begitu bimbang mengenai akibat daripada konflik berterusan di Gaza.

Katanya, penolakan Amerika Syarikat untuk menyokong gencatan senjata sudah mengakibatkan kehilangan nyawa warga Palestin yang tidak bersalah.

"Objektif Israel untuk sepenuhnya memusnahkan Hamas menimbulkan kebimbangan kemanusiaan yang serius berikutan sifat serangan yang tidak berperi kemanusiaan dan meletakkan nyawa semua warga Palestin dalam bahaya.

"Kitaran keganasan yang berterusan ini harus dihentikan dan penyelesaian yang kekal perlu ditemui segera.

"Harapan saya ialah usaha diplomasi dan penyelesaian yang adil dan damai dapat dicapai demi semua yang terkesan oleh konflik ini," katanya.

Kejayaan acara OKU Sentral menjadi bukti kepada keazaman dan kesatuan mereka dalam memperjuangkan keamanan dan inklusiviti.

Solidariti itu memberikan platform penting untuk memperkuatkan mesej penting kepada audiens global dan bersama bersuara bagi memperkuat panggilan segera untuk gencatan senjata di Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2024 @ 3:08 PM