GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan sindiket penyeludupan rokok dan arak melalui pelabuhan dalam negara turut menjadi dalang kegiatan pengubahan wang haram.

Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, berdasarkan maklumat yang diperolehi, terdapat pengimport arak dan rokok turut merasuah pihak berkuasa di Semenanjung Malaysia supaya tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka.

"Sindiket ini berkait rapat dengan pengubahan wang haram yang menggunakan sistem perdagangan tempatan mahupun antarabangsa untuk modus operandi mereka.

"Siasatan dan pengumpulan maklumat dijalankan pihak SPRM dalam membanteras sindiket ini," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas mengenai pembabitan golongan VIP dan ahli politik dalam penggubahan wang haram, Mohamad Zamri berkata, sememang ada terdapat golongan ini berhubung kes pengubahan wang haram yang disiasat oleh pihak SPRM namun identiti mereka tidak boleh didedahkan selagi pertuduhan belum dapat dilaksanakan.

"Fungsi Akta AMLA ini sebenarnya adalah untuk melumpuhkan sumber kewangan penjenayah dengan cara membuat pembekuan, sitaan dan juga pelucuthakan harta yang diperolehi melalui aktiviti jenayah.

"Dengan cara ini aktiviti jenayah yang seterusnya dapat dibanteras kerana penjenayah tahu bahawa jenayah yang dilakukan adalah sia-sia dan boleh dikesan pihak berkuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2024 @ 3:53 PM