ANGGOTA ATM daripada Batalion Ke-6 Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD) mendengar taklimat sebelum melakukan rondaan di kawasan Op Benteng.
ANGGOTA ATM daripada Batalion Ke-6 Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD) mendengar taklimat sebelum melakukan rondaan di kawasan Op Benteng.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuktikan keupayaannya menjaga keselamatan dan kedaulatan negara daripada pelbagai aspek ancaman.

Ini dibuktikan dengan kemampuan ketika menghadapi pandemik Covid-19 iaitu musuh tidak dapat dilihat yang melanda negara dan dunia.

Selain bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pelbagai agensi keselamatan lain, ATM melaksanakan pelbagai tugas dengan jayanya sehingga mengubah persepsi sebahagian besar masyarakat negara ini.

Berkongsi pencapaian tahun lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ATM menerajui operasi kawalan sempadan negara daripada pencerobohan pendatang asing tanpa izin (Pati) dan jenayah rentas sempadan di bawah Op Benteng yang dilaksanakan secara bersepadu bersama agensi keselamatan lain.

Beliau berkata, kementerian turut menambah beberapa aset baharu selain menyelenggara dua kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan menyiapkan 223 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).

Katanya, kebajikan anggota dan veteran turut diutamakan melalui pelaksanaan program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR), bantuan khas dan elaun.

"ATM berperanan dalam menangani wabak Covid-19 dan Op Benteng membabitkan gerak kerja bersepadu agensi keselamatan dalam mengawal sempadan negara.

"Pernah satu ketika Malaysia mendapat perhatian dunia sebagai antara negara yang berjaya mengawal wabak Covid-19 melalui strategi kesihatan dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP)," katanya pada Wawancara Pencapaian Malaysia Prihatin, baru-baru ini.

Selain menjaga keselamatan negara daripada ancaman anasir luar, Ismail Sabri berkata, ancaman siber yang membimbangkan ketika ini adalah faktor memerlukan tahap kesiapsiagaan ATM dipertingkat.

Beliau berkata, pencapaian terbaharu ialah melindungi rangkaian data milik pasukan itu daripada pencerobohan dan serangan siber.

Mengulas mengenai inisiatif memperkasa warga ATM dan veteran, beliau berkata, pelbagai penambahbaikan dilaksanakan kementerian antaranya menaik taraf dan membina rumah mampu milik di bawah program RKAT serta SASaR.

Katanya, Mindef juga akan membina 1,000 unit RKAT dengan kos keseluruhan berjumlah RM500 juta dan 7,374 unit rumah SASaR berharga RM150,000 hingga RM400,000 seunit.

Selain itu, kementerian juga berusaha untuk memenuhi keperluan RKAT ini lebih awal dengan tidak hanya bergantung dengan kewangan kerajaan semata-mata.

Oleh itu, kementerian turut menggunakan pendekatan kerjasama awam swasta melalui inisiatif pembiayaan swasta dan land swap.

Tambah beliau, kebajikan veteran ATM turut dititikberatkan supaya setimpal dengan jasa dan pengorbanan mereka menerusi pembayaran Elaun Kenangan secara One-Off kepada 121,816 veteran selain bayaran khas kewangan (BKK) Prihatin Nasional 2020 kepada 201,253 veteran tidak berpencen.

Menurut Ismail Sabri, selain kebajikan anggota dan veteran, Mindef turut melakukan beberapa inisiatif pendidikan yang memberi manfaat kepada seluruh anak warga pertahanan.

"Pertama, kuota 20 peratus untuk anak anggota dan veteran memasuki Maktab Tentera Diraja (MTD). Kuota 10 peratus kepada lepasan MTD memasuki Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan kuota 30 peratus memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bera, Pahang.

"Menambah baik infrastruktur dan penyelenggaraan 38 Sekolah Dalam Kem ATM dan menyediakan 570 nama pengguna (user ID) yang boleh digunakan oleh semua pelajar sama ada anak ATM, veteran mahupun warga awam kementerian untuk mengikuti tuisyen secara dalam talian," katanya.

Berkongsi impiannya pada tahun ini, beliau mahu meletakkan Malaysia sebagai pengeluar aset ketenteraan seperti negara jiran Indonesia.

Beliau yakin Malaysia mampu menjadi antara pengeluar aset ketenteraan berikutan kemajuan teknologi yang dicapai negara selain peruntukan kewangan yang mencukupi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 6:40 AM