Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Sebanyak 3,500 unit daripada 7,374 kediaman Projek Perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan siap pada penghujung tahun depan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bagi perkembangan kerja pembinaan SASaR Sungai Besi, di sini, sahaja yang bermula 21 hari lebih awal daripada jadual asal kini sudah pun mencapai 65.51 peratus.

Katanya, projek inisiatif Kementerian Pertahanan (Mindef) itu bagi memberi manfaat kepada warganya dalam kalangan ATM masih bertugas, veteran dan kakitangan awam yang berkhidmat di Mindef.

"Seperti kita sedia maklum soal perumahan bagi anggota tentera adalah perkara yang diberi tumpuan dan penekanan bagi kerajaan, antaranya program perumahan yang dilaksanakan Kementerian Pertahanan.

"Jadi hari ini saya ingin melihat sejauh mana kerja pembinaan dilaksanakan," katanya pada sidang media selepas mengadakan Lawatan Tapak Perumahan Projek SASaR Sungai Besi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Isham Ishak; Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abd Rahman Ayob dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Mohamed Khaled berkata, kerja-kerja pembinaan dua lagi pembinaan projek pembinaan SASaR ATM di Kem Wardieburn dan di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Setapak, Kuala Lumpur dijangka bermula pada Julai ini.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata ada dalam perancangan SASaR akan diperluaskan ke negeri lain berdasarkan kepada permintaan.

"Pelaksanaan yang lain kita jangka bermula selepas mendapat semua kelulusan merancang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Projek rintis, kita gunakan SASaR Sungai Besi untuk kita lihat pelaksanaan dan kejayaannya. Kita merancang laksanakan di tempat lain di seluruh negara.

"Memang ada permintaan di negeri lain. Kita akan buat kajian pasaran, (mungkin) kita tidak bina sebanyak seperti di sini, saya percaya bergantung permintaan dan sebagainya, kenal pasti tapak yang sesuai sebelum boleh dilaksanakan projek dan pembinaan," katanya.

MOHAMAD Khaled melihat replika projek perumahan SASAR Sungai Besi. FOTO Eizairi Shamsudin
MOHAMAD Khaled melihat replika projek perumahan SASAR Sungai Besi. FOTO Eizairi Shamsudin

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 8:55 PM