PESAWAH dinasihatkan supaya tidak perlu khuatir mengenai bekalan benih kerana pada musim 2/2021 terdapat permintaan yang agak tinggi untuk varieti MR 297 sehingga menyebabkan ia tidak mencukupi. FOTO Arkib NSTP
PESAWAH dinasihatkan supaya tidak perlu khuatir mengenai bekalan benih kerana pada musim 2/2021 terdapat permintaan yang agak tinggi untuk varieti MR 297 sehingga menyebabkan ia tidak mencukupi. FOTO Arkib NSTP
Samadi Ahmad
am@hmetro.com.my

Putrajaya: Jabatan Pertanian (DOA) memberi jaminan benih padi mencukupi untuk keperluan pesawah bagi penanaman seluas 520,000 hektar kawasan tanaman itu di Semenanjung Malaysia.

DOA menerusi kenyataan media hari ini memaklumkan, berdasarkan data sehingga 10 Oktober, sebanyak 52,922.5 metrik tan benih yang sedang dalam proses pengesahan.

Menurutnya, jumlah berkenaan adalah mencukupi bagi keperluan mengikut jadual penanaman di Kedah dan Perlis sehingga akhir November ini.

"Pada musim ini jumlah benih yang disahkan dijangka melebihi daripada 36,000 metrik tan dan ia melebihi daripada keperluan," katanya.

Semalam media melaporkan Badan Bertindak Petani Mada mendakwa berlaku sekali lagi kelewatan proses pengagihan benih padi kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sehingga menjejaskan jadual tanaman lebih 50,000 pesawah di Kedah dan Perlis.

Pengerusinya, Che Ani Mat Zain, berkata pihaknya kecewa apabila masalah pengagihan benih padi masih berterusan sejak tiga tahun kebelakangan ini selain tiada penyelesaian diambil kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Jelasnya, kerajaan sekali lagi mengubah kaedah pengagihan pada tahun ini, apabila 12 syarikat diberi hak mengeluarkan benih padi sah selepas berlaku masalah ketika Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menjadi pengedar tunggal tahun lalu.

DOA berkata, pihaknya sentiasa komited bagi memastikan benih padi yang disahkan menepati kualiti standard yang ditetapkan bagi menjamin pesawah mendapat bekalan benih berkualiti.

Menurutnya, pesawah dinasihatkan supaya tidak perlu khuatir mengenai bekalan benih kerana pada musim 2/2021 terdapat permintaan yang agak tinggi untuk varieti MR 297 sehingga menyebabkan ia tidak mencukupi.

Katanya, terdapat 13 varieti lain yang setanding varieti MR 297 diluluskan DOA, iaitu MR 219, MR 220 CL2, UKMRC-2, UKMRC-8, MR 269, MR 303, MR 307, MRQ76, MR 263, Putra 1 dan Putra 2.

"DOA berharap pesawah dapat membuka ruang dan bersedia untuk menanam varieti lain selain MR 297 yang mampu memberi hasil yang tinggi.

"Pesawah juga dinasihatkan supaya tidak membeli benih yang tidak mendapat pengesahan daripada DOA dikenali sebagai 'beg putih',

"Penggunaan benih jenis ini dikhuatiri boleh menyebabkan masalah padi angin, penyakit dan perosak yang boleh menjejaskan kualiti serta industri padi negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 10:22 AM