DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika menjawab soalan pada Sidang DUN Kedah di Wisma Darul Aman, hari ini. FOTO ihsan Pejabat Menteri Besar
DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika menjawab soalan pada Sidang DUN Kedah di Wisma Darul Aman, hari ini. FOTO ihsan Pejabat Menteri Besar
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


Alor Setar: Kecenderungan pesawah memilih varieti padi (monovarieti) menyebabkan berlaku kekurangan benih padi sah (BPS) di pasaran, yang seterusnya mengakibatkan kelewatan aktiviti tanaman musim 2/2021.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) didapati cenderung mendapatkan varieti MR297 kerana persepsi ia memberi pulangan hasil lebih tinggi berbanding varieti lain.

Katanya, secara umum benih padi di pasaran adalah mencukupi sekiranya tidak wujud kecenderungan monovarieti berkenaan.

"Penanaman padi secara monovarieti adalah tidak digalakkan kerana akan mendedahkan kepada serangan perosak dan penyakit dalam skala yang besar.

"Keadaan ini dikhuatiri akan menjejaskan hasil penanaman padi pesawah, justeru pesawah adalah dinasihatkan untuk memilih varieti selain daripada varieti MR297 yang terdapat di pasaran bagi mengelakkan kesan monovarieti selain kelewatan penanaman," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ir Amiruddin Hamzah (Pejuang-Anak Bukit) yang memohon penjelasan mengenai pesawah yang merungut ketiadaan benih padi MR297 serta peranan kerajaan negeri bagi memastikan masalah sama tidak berulang.

Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, beberapa langkah dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk mengatasi isu itu termasuk menetapkan dasar yang berkesan bagi mengurangkan implikasi pembekalan benih padi sah pada setiap musim.

Katanya, antara langkah terbabit adalah kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) melantik 12 pengeluar benih dan 13 pemborong untuk menambah baik aspek pengeluaran, pengedaran, pengagihan dan pemasaran hasil benih padi sah bermula tahun ini.

"Selain itu, kerajaan juga menetapkan harga siling benih padi sah kepada RM35 seguni (20 kilogram) di peringkat peruncitan bagi mengawal manipulasi harga benih padi di pasaran.

"Kerajaan melalui Bahagian Kawal Selia Padi Beras dan agensi Mada pula melaksanakan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan memanipulasi harga dan sebagainya.

"Pemantauan secara berkala turut dilaksanakan di peringkat pengeluar dan pemborong, makmal pemprosesan dan lokaliti atau Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) oleh pihak MADA," jelas beliau.

Muhammad Sanusi memberitahu kerajaan turut mempertimbangkan untuk meningkatkan skim ladang benih bagi varieti MR297 dan lain-lain varieti berdasarkan penyelarasan permintaan dan penawaran seluruh negara.

Sebelum ini, media melaporkan lebih 50,000 pesawah yang mengusahakan tanaman padi seluas 100,000 hektar di kawasan Mada di negeri ini mendakwa berlaku masalah kelewatan bekalan benih padi sah dan ia dipercayai berlarutan sejak tiga tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 1:24 PM