Anggota MALBATT. FOTO Fail
Anggota MALBATT. FOTO Fail
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Tiada sebarang kecederaan anggota, kehilangan peralatan atau kerosakan apabila kenderaan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) dari Malaysia ditahan penduduk tempatan di Beirut, Lubnan pada 29 Februari lalu.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (MK ATM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan insiden berlaku pada 4.30 petang (waktu Lubnan) ketika konvoi dua kenderaan Malbatt 850-11 itu dalam perjalanan ke 'Unifil Staging Area' berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Rafik Hariri, Beirut.

"Salah sebuah kenderaan jenis Fitted For Radio (FFR) jenama Cendana Auto bersama lima anggota Malbatt 850-11 terpisah daripada konvoi akibat kesesakan lalu lintas.

"Kenderaan berkenaan kemudian memasuki kawasan Hay Al-Sellom di Dahiyeh, Selatan Beirut bagi membuat pusingan U untuk kembali ke laluan sebenar," katanya.

Menurutnya, ketika membuat pusingan U untuk keluar dari kawasan perkampungan itu, sekumpulan penduduk tempatan seramai 15 hingga 20 orang menyekat kenderaan berkenaan.

"Kumpulan penduduk berkenaan meminta anggota Malbatt 850-11 untuk memberikan penjelasan serta tujuan kenderaan melalui kawasan itu memandangkan ia adalah kawasan milik persendirian.

"Mereka juga memeriksa bahagian dalam kenderaan bagi tujuan tertentu sebelum anggota dan kenderaan Malbatt 850-11 dibenarkan meneruskan tugasan selepas memberikan penjelasan," katanya.

Katanya, tiada sebarang kecederaan anggota, kehilangan peralatan atau kerosakan kepada kenderaan dalam insiden berkenaan.

"Kejadian itu juga sudah dirujuk kepada Lebanese Armed Force (LAF). Malbatt 850-11 akan meneruskan rutin tugasan seperti mandat yang ditetapkan UNIFIL.

"Semua pihak diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 2:41 PM