MOHAMAD Khaled ketika sidang media mengenai projek perumahan SASAR Sungai Besi di PSV Sales Gallery, Sungai Besi. FOTO Eizairi Shamsudin
MOHAMAD Khaled ketika sidang media mengenai projek perumahan SASAR Sungai Besi di PSV Sales Gallery, Sungai Besi. FOTO Eizairi Shamsudin
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) setiap masa memantau enam kawasan maritim Malaysia merangkumi Selat Melaka, Laut Cina Selatan, Laut Sulawesi dan Laut Sulu untuk mengesan kapal mencurigakan dan kapal perang negara lain.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, rondaan 24 jam tujuh hari seminggu itu bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

"Atas sebab itulah kita kena faham, kita kena hargai bahawa inilah peranan dan tanggungjawab Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Walaupun ada (segelintir) orang ingat tak ada perang kenapa (Kementerian Pertahanan) dapat macam-macam, mengapa dapat bajet besar. Sebabnya setiap masa jaga keselamatan dan kedaulatan negara.

"Maknanya kalau mereka (tentera) tak ada, akan jadi macam Pulau Batu Putih, kedaulatan kita habis," katanya pada sidang media selepas mengadakan Lawatan Tapak ke Perumahan Projek SASaR (Satu Anggota Satu Rumah) di Sungai Besi di sini, hari ini.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya kehadiran sebuah kapal Pengawal Pantai China yang menghampiri bot nelayan Malaysia berhampiran Terumbu Sahap, Sarawak di South Luconia Shoals, dalam Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia (ZEE) di Laut China Selatan.

Mengulas lanjut, katanya, kawasan Laut China Selatan adalah kawasan yang bebas dilalui sesiapa sahaja tetapi apabila kapal negara asing.

Menurutnya, hanya apabila jika sesebuah kapal negara asing itu menurunkan sauh, itu boleh dianggap sebagai pencerobohan.

Katanya, jika itu berlaku dari segi kita punya tatacara kerja, kita akan maklumkan kepada Wisma Putra untuk tindakan selanjutnya.

"Perlu ingat laluan Laut Cina Selatan bebas dilalui mana-mana kapal. Jangan kerana mereka lalu kita kata mereka ceroboh, tetapi kalau dia menurunkan sauh itu soal lain.

"Kita tidak nafikan bahawa kapal daripada negara asing ada (di Laut Cina Selatan) kerana mahu menuntut kawasan itu. Kita juga mesti hadir di sana setiap masa kerana kita juga mahu memberitahu ini kawasan kita.

"Kita perlu didik masyarakat walaupun (negara) kita aman tetapi mereka (tentera) beroperasi 24 jam tujuh hari seminggu. Setiap masa sama ada laut, darat atau udara," katanya.

Sementara itu, beliau mengesahkan bahawa ketika ini pasukan Batalion Malaysia (Malbatt 850-11 ) yang menyertai misi United Nations Interim Force In Labenon (Unifil) di Beirut, Lubnan berada dalam keadaan selamat.

"Masa penghantaran maklumkan memastikan soal keselamatan dapat dijaga dipelihara lebih-lagi keadaan sedia maklum (perang Israel-Palestin dan serangan Iran terhadap Israel), saya percaya soal keselamatan itu dipertingkatkan .

"Laporan kita terima mereka dalam berada dalam keadaan selamat, mereka diletakkan kawasan bukannya sempadan Lubnan dan Israel...ke dalam sedikit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 7:24 PM