Laporan portal berita Harian Metro hari ini.
Laporan portal berita Harian Metro hari ini.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


KANAK-kanak lelaki orang kurang upaya (OKU) yang rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Paku, Gual Ipoh, Tanah Merah hari ini sempat meminta tolong kakaknya namun tidak dapat diselamatkan kerana api marak.

Mangsa, Muhammad Aqil Azfar Che Azman, 11, OKU hiperaktif ditemui rentung dalam bilik tidur.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Asisten Superintendan Mohd Zailal Wasubri berkata, sebelum kejadian, ibu bersama tiga adik beradik mangsa dan neneknya ke farmasi di bandar itu.

Katanya, mangsa tinggal bersama kakaknya berusia 13 tahun dan ketika kejadian kakaknya berada di dapur.

“Secara tiba-tiba, kakak mangsa terdengar adiknya menjerit minta tolong beberapa kali.

“Kakaknya terus berlari untuk membantu mangsa, namun tidak sempat kerana melihat api daripada tilam marak membakar bilik.

“Seterusnya kakak mangsa keluar rumah dan meminta bantuan jiran, namun tidak sempat kerana api marak terlalu cepat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kebakaran berlaku di rumah nenek mangsa dan kanak-kanak itu bersama ibu dan empat adik beradik lain datang ke rumah itu 4 petang semalam.

Katanya, mereka tinggal di Sungai Keladi dekat Pasir Mas datang melawat nenek sempena cuti hujung minggu.

“Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga,” katanya.

Berita berkaitan

Kanak-kanak OKU rentung rumah terbakar

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 5:51 PM