MOHAMED Khaled ketika sidang media pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Kementerian Pertahanan 2023 di Kuala Lumpur. FOTO BERNAMA
MOHAMED Khaled ketika sidang media pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Kementerian Pertahanan 2023 di Kuala Lumpur. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan sedang dalam proses untuk memuktamadkan modul Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang dijangka bermula seawal tahun hadapan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata antara aspek yang dinilai ialah kurikulum, pelaksanaan dan usaha antara agensi yang boleh membantu memantapkan program berkenaan.

"Modul PLKN akan berasaskan 80 peratus latihan ketenteraan dan 20 peratus lagi (unsur) kenegaraan. Jadi, kalau nak kata ia merupakan usaha untuk mempengaruhi ataupun ada elemen politik, itu tidak benar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Jasamu Dikenang Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Mengenai kuota pengambilan peserta PLKN sebelum ini, Mohamed Khaled berkata terdapat ramai peserta daripada golongan bumiputera kerana peratusan mereka yang tinggi di dalam negara.

"Tak mungkin boleh menampung semua sebab tempat yang ada adalah terhad. Jadi, akan ada kriteria tertentu sebelum mereka dipilih menyertai PLKN nanti," katanya.

Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk melaksanakan semula PLKN setelah ditangguhkan lebih lima tahun dan program itu akan dijalankan di 13 kem Rejimen Askar Wataniah serta Pusat Latihan Polis (Pulapol) di seluruh negara.

Sebanyak 477 penerima APC termasuk penerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang yang terdiri daripada penjawat awam di Wisma Pertahanan dan unit-unit tentera, warga Angkatan Tentera Malaysia serta pesara awam terpilih menerima anugerah hari ini.

Mohamed Khaled turut menyempurnakan penyampaian Pingat Perkhidmatan Cemerlang kepada seorang guru di Maktab Tentera Diraja, Hairunisa Khalid yang merupakan satu-satunya penerima bagi kategori itu tahun ini atas kriteria pencalonan memerlukan pegawai terpilih diiktiraf aktif dan berkemahiran dalam pelbagai bidang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 2:38 PM