PLKN sebelum ini mengambil pendekatan 90 peratus membabitkan latihan ala ketenteraan dan 10 peratus tatanegara.
PLKN sebelum ini mengambil pendekatan 90 peratus membabitkan latihan ala ketenteraan dan 10 peratus tatanegara.
Oleh Sudirman Mohd Tahir dan Noorhidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN 3.0) yang akan diteruskan semula mengambil pendekatan berbeza berbanding sebelum ini iaitu 90 peratus membabitkan latihan ala ketenteraan dan 10 peratus tatanegara.

Mengulas perkara itu, pensyarah kanan Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya Prof Madya Dr Adelina Asmawi berkata, kerajaan perlu berbalik pada apakah objektif PLKN dan memperhalusi perkara itu.

"Pertama, kita perlu bertanya, apa objektif PLKN? Perhalusi objektif program ini. Mengembangkan patriotisme, perpaduan kaum, khidmat komuniti, generasi aktif, bijak dan yakin diri, karakter positif dan bernilai murni selain ketaatan kepada kerajaan.

"Modul asal yang dihasilkan oleh kepakaran dahulu berfokuskan kepada empat komponen iaitu fizikal, kenegaraan, pembinaan karakter dan khidmat komuniti. Semua komponen ini perlu diperhalusi dan ditambahbaik mengikut data yang diperoleh daripada program terdahulu," katanya.

Menurut beliau, terdapat tiga perkara yang perlu difikirkan bersama dalam menjayakan PLKN 3.0 ini.

"Pertama, adakah perlu 90 peratus modul yang ala ketenteraan? Model negara manakah yang menjadi contoh ikutan negara kita? Adakah sudah dilihat kesesuaian dengan populasi dan keperluan Malaysia? Di manakah hak asasi belia ini apabila dipaksa belajar menggunakan senjata api?

"Kedua, pemilihan belia untuk program ini. Bukan semua memerlukan program ini. Bagaimanakah pemilihan dibuat? Pemilihan rawak adalah tidak sesuai," katanya.

Menurut beliau, terdapat belia yang sudah memenuhi objektif-objektif program ini seperti pelajar cemerlang akademik dan kokurikulum di sekolah.

Pelajar yang berkepimpinan tinggi di sekolah dan dalam masyarakat, selain yang membabitkan diri dengan khidmat komuniti, katanya, tidak memerlukan program ini.

Beliau berkata, fokus perlu diberi kepada belia yang tiada arah hidup, tidak bermotivasi untuk menyambung pengajian, tidak berkeperluan untuk membantu menyara hidup keluarga dan yang bermasalah disiplin.

Pada masa sama, pilihan untuk mendaftar diri secara sukarela juga perlu dikekalkan.

"Ketiga, perbaiki program berdasarkan isu PLKN yang lampau. Program ini sudah membabitkan kehilangan nyawa belia. Kes hilang di hutan, keracunan makanan, demam panas, bengkak otak, kes cabul, pukul dan sebagainya pernah direkod.

"Ini boleh dijangkakan apabila beratus individu atau peserta dikumpulkan di kawasan perkhemahan yang sempit tanpa pengurusan yang efektif.

"Program ini juga dimansuhkan suatu ketika dahulu atas sebab indoktrinasi perkauman yang berlaku di kem," katanya.

Menurut beliau, PLKN 3.0 ini juga bakal membabitkan kos tinggi.

"Jika terdapat keperluan lain yang lebih baik bagi wang atau bajet ini disalurkan, mengapa tidak?

"Kesimpulannya, kita perlu perhalusi modul baharu ini daripada semua sudut. Pemilihan belia sebaiknya bukan secara rawak.

"Fasilitator perlu membabitkan pelbagai kaum, cekal, telus serta bukan hanya dalam kalangan anggota tentera. Pakar perubatan juga perlu ada di kawasan latihan," katanya.

Menurut beliau, modul PLKN 3.0 juga sepatutnya bukan membabitkan ala ketenteraan kerana ia tidak selaras dengan objektif program berkenaan yang bukan program berkaitan ketenteraan.

'Nisbah 90:10 bukan langkah bijak terap nilai patriotisme'

Keputusan kerajaan untuk meneruskan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN 3.0) mengundang pelbagai reaksi dalam dalam kalangan ibu bapa.

Mardiyana Yusip, 40, yang juga guru sejarah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tawau, Sabah berkata, melaksanakan PLKN dengan nisbah 90:10 pendekatan ketenteraan adalah tidak munasabah bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Golongan ini mempunyai ketahanan fizikal amat berbeza dan tidak rasional untuk menyamaratakan latihan khidmat negara untuk semua.

"Penggunaan nisbah 90:10 bukanlah satu langkah bijak untuk menerapkan nilai patriotisme dalam kalangan lepasan SPM, sebaliknya kemungkinan akan menimbulkan trauma dalam diri remaja yang tidak boleh mengikuti modul fizikal ketenteraan," katanya semalam.

Menurut Mardiyana, menyemai semangat patriotik dan ketahanan mental juga boleh dicapai melalui aktiviti yang lebih menyentuh hati nurani peserta tanpa melalui aktiviti fizikal ketenteraan.

"Pada masa sama, tidak semua peserta mempunyai kemampuan berhadapan dengan aktiviti fizikal yang berat.

"Adalah lebih berkesan jika nisbah 50:50 digunakan dalam modul PLKN 3.0 ini," katanya.

Mohd Adzhari Serdin @ Shaharuddin, 41, pula menyambut baik cadangan untuk meneruskan semula PLKN 3.0 selain berharap, program itu dapat meningkatkan semangat jati diri dan ketahanan mental peserta.

"Mengambil contoh China dan Korea yang menerapkan latihan ketenteraan kepada belia bagi mengukuhkan ketahanan mental serta fizikal. Sebagai contoh, pemain badminton China, Lin Dan yang menerapkan ketahanan mental dalam setiap pertandingan disertainya," katanya ketika ditemui.

Beri tender secara telus elak disalah guna 'kroni'

Penyelenggaraan tender Program Latihan Khidmat Negara (PLKN 3.0) perlu telus bagi memastikan kontrak pembekalan tidak disalah guna untuk memenuhi kepentingan tertentu atau 'kroni' pihak tertentu melalui 'jalan belakang'.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim berkata, pihaknya berharap setiap tender bekalan pakaian, makanan, peralatan dan keperluan lain akan lebih telus dan adil dalam memastikan integriti program PLKN 3.0.

Menurutnya, ia sekali gus akan memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa dana awam digunakan dengan bijak dan adil dalam pelaksanaan program berkenaan.

"Kami berharap proses tender akan dilakukan dengan telus dan ada syarat yang ketat ditetapkan untuk mengelakkan sebarang penyelewengan. Ini akan memberikan kepercayaan kepada rakyat bahawa PLKN dilaksanakan dengan berintegriti dan berhemah dalam semua perbelanjaan.

"Kerajaan perlu melakukan penambahbaikan menyeluruh dalam pelaksanaan PLKN termasuk memastikan kontrak pembekalan kepada kroni ahli politik tidak berlaku lagi. Keselamatan dana awam dan integriti program ini harus diberikan keutamaan," katanya.

Menurut beliau, beberapa usaha boleh ditambah baik bagi mengelakkan elemen rasuah dan salah guna kuasa dalam pelaksanaan PLKN 3.0, terutama dalam aspek pembekalan yang mana maklumat tender perlu diterbitkan secara terbuka, termasuk kriteria penilaian dan pemenang kontrak.

Katanya, kerajaan perlu memastikan program berkenaan selaras dasar antirasuah sedia ada termasuk membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memantau proses tender dan perbelanjaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 7:02 AM