Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 58,508 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan 871 majikan sepanjang tempoh 1 Januari 2022 sehingga 27 Februari 2024.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tangkapan itu adalah berdasarkan kepada 20,880 operasi penguatkuasaan sepanjang serbuan yang dilakukan sepanjang tempoh itu.

"Bukan sahaja kita tangkap Pati, majikan pun kita tangkap kerana melindungi, menggajikan dan segala macam kesalahan di bawah Akta Imigresen," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan V Ganabatirau (PH-Klang) yang menyatakan mengikut tinjauan, penduduk Klang masih kurang berpuas hati terhadap hasil serbuan terhadap lubuk Pati di kawasan pedalaman kerana jumlahnya masih tinggi.

Ganabatirau turut bertanyakan adakah aktiviti serbuan terhadap kawasan Pati akan dilakukan secara lebih kerap.

GAMBAR hiasan. FOTO Ihsan JIM
GAMBAR hiasan. FOTO Ihsan JIM

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, lima negeri yang paling ramai Pati adalah Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, mengulas mengenai serbuan di Klang, Saifuddin berkata, terdapat lapan kawasan panas berdasarkan aduan orang ramai dan perisikan JIM.

Menurutnya, antara kawasan itu adalah di Pasar Borong Klang, Pasar Besar Klang, GM Klang, Kawasan Perindustrian Bandar Sultan Sulaiman, Kawasan Perindustrian Bandar Sultan Sulaiman dan Kawasan Perindustrian Pulau Indah Bandar Bukit Tinggi.

"Apa kita buat? Pemantauan dan naziran yang dibuat secara rutin," katanya.

Katanya, bagi tahun ini, sebanyak 36 serbuan telah dilakukan di Klang dan 2,054 PATI serta lapan majikan telah ditangkap.

"Itulah komitmen yang kita tunjukkan secara berterusan khusus untuk menangani perkara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 11:15 AM