Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Klang: Satu lagi koloni pendatang asing tanpa izin (Pati) ala 'Mini Dhaka' digempur dalam serbuan Op Khas Aman di kawasan pangsapuri di Jalan Aman Perdana, di sini, hari ini.

Difahamkan 490 Pati ditahan dalam operasi yang diketuai Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman dengan bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor itu.

Wartawan Harian Metro yang mengikuti operasi 2.30 pagi itu mendapati kawasan pangsapuri lima tingkat yang dikelilingi oleh kawasan perindustrian berkenaan didiami oleh warga asing yang bekerja di kilang-kilang berhampiran.

Malah ada juga segelintir Pati menjalankan perniagaan kedai runcit dan menjual produk dari negara asal mereka bagi memenuhi permintaan pelanggan warga asing di pangsapuri berkenaan.

SERAMAI 490 Pati ditahan dalam Op Khas Aman. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
SERAMAI 490 Pati ditahan dalam Op Khas Aman. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Seramai 300 anggota dan pegawai polis lengkap bersenjata mengepung kawasan perumahan itu sebelum menyerbu dan memeriksa empat daripada lapan blok di pangsapuri terbabit.

Difahamkan, pihak polis menjalankan risikan dan pemantauan sekitar sebulan di kawasan terbabit susulan menerima aduan serta maklumat daripada orang ramai berhubung kebanjiran warga asing.

Ketika serbuan, kebanyakan Pati terbabit sedang lena tidur dan tidak sempat melarikan diri namun ada juga percubaan beberapa Pati yang memanjat bumbung dan melompat ke dalam parit demi mengelak daripada dicekup.

Tinjauan di beberapa unit kediaman Pati terbabit mendapati kebanyakan daripada mereka tinggal antara lima ke enam orang serumah malah ketika serbuan ada antara mereka yang tidur di bahagian dapur.

Beberapa Pati ditemui mengaku bekerja di beberapa kilang yang terletak berhampiran dan duduk menyewa di kawasan itu malah ada juga majikan yang menyewa unit rumah di kawasan itu untuk dijadikan penempatan buat pekerja mereka.

Penduduk tempatan, Wong, 40-an berkata kawasan itu mula dibanjiri pendatang asing tanpa izin sejak beberapa tahun lalu namun mendakwa golongan itu tidak mendatangkan masalah.

"Mereka memang ramai di sini, kadang-kadang rasa macam mereka lebih ramai daripada kita (warga tempatan) di sini, tetapi saya tak pasti lah jumlah mereka yang sebenar.

"Mereka selalunya tidak kacau orang-orang sini (tempatan) tapi masalahnya mereka ini agak pengotor sikit, itu sahaja masalah bagi saya," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Berdasarkan maklumat awal, antara yang ditahan termasuk warga Bangladesh, Nepal, Afghanistan, Indonesia kerana tinggal lebih masa, tiada dokumen perjalanan sah dan lain-lain kesalahan.

Kesemua Pati berusia lingkungan 20-an hingga 50-an terbabit dijangka dibawa ke Depoh Imigresen Semenyih selepas proses dokumentas selesai dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 10:55 AM