ANGGOTA penguat kuasa melihat komponen elektronik yang dileraikan di sebuah kilang yang beroperasi secara haram di Negeri Sembilan. FOTO Azrul Edham.
ANGGOTA penguat kuasa melihat komponen elektronik yang dileraikan di sebuah kilang yang beroperasi secara haram di Negeri Sembilan. FOTO Azrul Edham.
Ahmad Hasbi


Seremban: Kilang di Batu 5 1/2, Jalan Kuala Sawah, Kampung Puchong, di sini bukan sahaja dikesan menjalankan kegiatan peleraian komponen elektronik secara haram, bahkan turut melakukan lapan kesalahan lain.

Dalam serbuan kira-kira 10 pagi tadi, pihak berkuasa menemui 200 tan bahan buangan elektronik (e-waste) dan kegiatan itu dipercayai didalangi warga asing.

Exco Sumber Manusia dan Perubahan Iklim negeri, S Veerapa berkata, operasi membabitkan 71 kakitangan pelbagai agensi itu digerakkan selepas mengesan kilang tanpa nama itu beroperasi haram dan aktiviti melerai bahan e-waste yang memberi kesan buruk pada alam sekitar dan kesihatan penduduk setempat.

Agensi terbabit termasuk

"Anggaran berat sisa buangan ditemui adalah sebanyak 200 tan, selain siasatan mendapati jarak kilang hanya kira-kira 100 meter dari Sungai Linggi," katanya, hari ini.

Beliau berkata, kegiatan itu dipercayai didalangi warga China, manakala pekerjanya terdiri daripada warga Myanmar dan Bangladesh.

Veerapa berkata, bahan buangan itu dipercayai dibawa masuk ke negara ini dari Amerika Syarikat dan China melalui pelabuhan Klang, namun diisytihar secara salah.

"Pemeriksaan mendapati sembilan kesalahan dilakukan di bawah bidang kuasa tujuh agensi. Antaranya Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana operasi peleraian e-waste tanpa lesen serta Seksyen 34 A kerana gagal kemukakan laporan Environment Impact Assesment (EIA) bagi aktiviti peleraiaan e waste.

"Bagi bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT), kesalahan dilakukan kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.

"Pihak kilang juga gagal mengemukakan borang nyata cukai pendapatan dan gagal mengisytiharkan pendapatan sepatutnya, yang diambil tindakan mengikut peruntukan sedia ada," katanya.

Selain itu, kilang terbabit tidak mempunyai sijil perakuan penginapan pekerja serta memiliki hidupan liar yang dilindungi tanpa permit yang sah.

"Bagi kesalahan di bawah Jabatan Imigresen, dua pekerja Bangladesh dan lima warga Myanmar ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2024 @ 7:01 PM