Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mewujudkan kemudahan Rumah Perantaraan Wilayah Persekutuan di sini, bagi memberi sokongan berterusan kepada bekas kliennya di Jalan Raja Alang, Kampung Baru.

Ketua Pengarah AADK Sutekno Ahmad Belon berkata, kemudahan itu dibuka dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut terbuka kepada penagih dadah yang mahu mendapatkan rawatan secara sukarela.

Menurutnya, premis dua tingkat itu dipilih sebagai lokasi pertama berikutan lokasinya yang strategik serta di tengah ibu kota yang menjadi tumpuan penyalahgunaan dadah.

"Premis ini milik MAIWP dan diberi kebenaran kepada AADK untuk dijadikan rumah perantaraan untuk membolehkan mereka yang terkesan dengan penagihan dadah untuk merujuk kepada kita.

"Pelbagai program yang kita khususkan di mana perkhidmatan diberikan secara fleksibel (berdasarkan keperluan) untuk mereka (klien)," katanya selepas merasmikan rumah perantaraan itu di sini, hari ini.

Menurutnya, ahli keluarga juga digalakkan untuk hadir kerana sokongan mereka khususkan dan masyarakat umumnya amat penting dalam proses pemulihan.

Katanya, pemulihan seseorang penagih dadah tidak terhenti selepas keluar daripada pusat pemulihan namun ia adalah satu proses berpanjangan.

"Pemulihan ini satu proses sepanjang hayat, bila-bila masa boleh jatuh (relaps), selalunya bila itu berlaku tak ada orang hendak sokong mereka (penagih).

"Jadi bila itu (relaps) berlaku mereka boleh datang dan dapatkan rawatan di sini. Kita ada kaunseling dan pelbagai aktiviti, mereka boleh dapatkan pemulihan, bimbingan dan sebagainya di sini," katanya.

Sutekno berkata, pusat itu terbuka kepada semua warga tempatan namun tidak meletakkan sebarang sasaran berhubung jumlah pengunjung yang akan mendapatkan rawatan di premis itu.

Mengulas mengenaai jumlah penagih dadah di ibu negara, Sutekno berkata, terdapat nisbah 0.37 peratus daripada setiap 100,000 penduduk atau 370 orang di ibu negara terbabit dengan penyalahgunaan najis dadah.

"Tahun ini, kita mensasarkan angka itu tidak melebihi 0.4 peratus (400 orang bagi setiap 100,000 penduduk).

"Kita harap angka (penagih) itu tidak meningkat, dan kita fokuskan iaitu aspek pencegahan dan lebih ramai penagih dadah mendapatkan bantuan pemulihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2024 @ 4:50 PM
Rumah Perantaraan Wilayah Persekutuan pada majlis perasmian Peluncuran Perasmian Rumah Perantaraan Wilayah Persekutuan, Jalan Raja Alang. FOTO ASWADI ALIAS
Rumah Perantaraan Wilayah Persekutuan pada majlis perasmian Peluncuran Perasmian Rumah Perantaraan Wilayah Persekutuan, Jalan Raja Alang. FOTO ASWADI ALIAS