Mohd Nasir (tengah) menunjukkan 248kg ganja mampat dalam 10 guni dianggarkan bernilai RM620,000 yang disembunyikan dalam sebuah kereta jenis Proton Exora di Jalan Cempaka Panji, Pengkalan Chepa. FOTO IHSAN JKDM
Mohd Nasir (tengah) menunjukkan 248kg ganja mampat dalam 10 guni dianggarkan bernilai RM620,000 yang disembunyikan dalam sebuah kereta jenis Proton Exora di Jalan Cempaka Panji, Pengkalan Chepa. FOTO IHSAN JKDM
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 10 guni yang mengandungi 248 kilogram (kg) ganja mampat dianggarkan bernilai RM620,000.

Pengarah JKDM Kelantan Mohd Nasir Deraman berkata, rampasan dibuat terhadap sebuah kereta jenis Proton Exora di Jalan Cempaka Panji, Pengkalan Chepa di sini, 11.30 pagi semalam.

"Serbuan dibuat oleh Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Kota Bharu berdasarkan intipan dan maklumat.

"Hasil pemeriksaan lanjut yang dilakukan, pasukan operasi berjaya merampas sebanyak 248kg ganja mampat yang disembunyikan dalam kereta Proton Exora yang diparkir di sebuah garaj dengan nilai anggaran berjumlah RM620,000," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Nasir berkata, ganja mampat itu disyaki diseludup dari Thailand dan modus operandi yang digunakan adalah membawa masuk barangan itu melalui sempadan negara.

Menurutnya, khidmat penyeludup digunakan dengan membawa masuk ganja mampat itu melalui jalan sungai secara berperingkat.

"Ganja mampat yang diseludup ini akan dikumpul dan disembunyikan di suatu tempat bagi memastikan pergerakan mereka selamat sebelum diedar dalam pasaran.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mati mandatori mengikut Seksyen 39B(2)," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai agar membantu JKDM untuk sama-sama mengekang jenayah penyeludupan khususnya dadah, rokok, minuman keras, mercun, kenderaan

dan sebagainya serta dinasihatkan tidak terbabit dengan aktiviti berkenaan.

Beliau juga menyeru supaya orang awam memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-8855, atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

"Kami memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan.

"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 2:41 PM