LING Tian Soon (kiri) dan K Raven Kumar pada Program Harmoni Bersama Sempena Tahun Baharu Cina Tahun 2024. FOTO Izz Laily Hussein
LING Tian Soon (kiri) dan K Raven Kumar pada Program Harmoni Bersama Sempena Tahun Baharu Cina Tahun 2024. FOTO Izz Laily Hussein
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Biarpun tiada wakil Pakatan Harapan (PH) dalam rombakan barisan exco kerajaan negeri bagi penggal 2024-2027, kerjasama kerajaan negeri dengan gabungan parti itu akan terus berjalan dengan baik.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, perkara itu tidak perlu dipertikaikan sebaliknya Barisan Nasional (BN) dan PH perlu terus pandang ke depan untuk terus bersama-sama mentadbir dan membangunkan negeri ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda MCA berkata, biarpun ketiadaan wakil PH dalam barisan exco kerajaan negeri yang baharu, ia tidak akan menjejaskan hubungan BN dan PH.

"Menteri Besar sudah beri kenyataan sebelum ini yang mana Johor sudah jalankan PRN (Pilihan Raya Negeri) sebelum pembentukan Kerajaan Perpaduan.

"Kita perlu menghormati sistem demokrasi yang berlaku pada Mac 2022. Johor ini unik dan berlaianan sikit. Kita pun bukan panggil mereka sebagai pembangkang, mereka adalah pengimbang. Mereka juga terima peruntukan daripada Menteri Besar untuk jaga kawasan masing-masing," katanya ketika ditemui selepas Program Harmoni Bersama Sempena Tahun Baharu Cina Tahun 2024 di Taman Sutera Utama, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya negeri, K Raven Kumar.

Selasa lalu, Onn Hafiz mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri yang baharu menggantikan ADUN Johor Lama, Norlizah Noh.

Sementara itu, Raven yang juga Ketua Pemuda MIC berharap, tiada lagi polemik berkenaan isu rombakan exco Johor kerana perkara iti sudah pun terjawab.

"Rombakan dah berlaku dan sudah terjawab, sekarang adalah masa untuk bekerja," katanya.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berharap BN Johor dapat melakukan perubahan dengan membuka pintu kepada wakil rakyat PH berada dalam barisan exco kerajaan negeri bagi menandakan kerjasama antara dua gabungan parti politik itu di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 4:55 PM