Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Petaling Jaya: Kerajaan Melaka mencadangkan tarikh 20 Februari setiap tahun diwartakan sebagai cuti umum Persekutuan bagi memperingati Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ini disebabkan ia adalah detik pembebasan negara ini keluar daripada penjajah dengan pengumuman berkenaan dilakukan oleh Perdana Menteri Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, pada 20 Februari 1956.

Katanya, Melaka sudah mewartakan 20 Februari sebagai cuti umum tahunan bagi menggantikan cuti Hari Pengisytiharan Melaka Bandaraya Bersejarah yang diraikan pada 15 April setiap tahun.

"Saya mengharapkan sekiranya Kerajaan Persekutuan dapat melihat bahawa ini adalah hari yang penting dan bersejarah, boleh dijadikan cuti umum Persekutuan. Saya amat mengalu-alukannya.

"Kerana ini adalah satu detik pembebasan kita keluar daripada penjajah selama 446 tahun," katanya pada sidang media selepas hadir di Program Malaysia Hari Ini (MHI) di Sri Pentas, di sini, tadi.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, bagi memperingati tarikh itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyempurnakannya serta melaungkan kemerdekaan di Bandar Hilir, Melaka pada Selasa ini.

Katanya, kerajaan negeri akan mengembalikan nostalgia detik bersejarah itu dengan Anwar akan menaiki kenderaan yang membawa Almarhum Tunku Abdul Rahman sejurus pulang dari London, selain turut membacakan proklamasi pengisytiharan merdeka.

DATUK Seri Ab Rauf Yusoh. FOTO Asyraf Hamzah
DATUK Seri Ab Rauf Yusoh. FOTO Asyraf Hamzah

Beliau berkata, lakonan semula itu juga akan membabitkan detik bersejarah bendera Union Jack diturunkan dan digantikan dengan kibaran pertama bendera Malaysia, selain beberapa spesifik lain sepanjang detik bersejarah berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara itu turut menyeru dan mengalu-alukan kedatangan orang ramai ke Melaka kerana pelbagai aktiviti disediakan secara percuma.

Katanya, antara aktiviti yang kemasukannya secara percuma adalah seperti Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, Zoo Melaka selain muzium yang berada di bawah Perbadanan Muzium.

Beliau berkata, bagi mana-mana pihak yang inginkan cabaran dan merasai kehidupan di penjara, mereka boleh mengunjungi Muzium Penjara di negeri itu.

"Kalau nak merasa bagaimana kehidupan di penjara seperti tidur dalam sel, tidur bersebelahan tempat tali gantung, makan seperti banduan, hanya di Melaka.

"Siapa yang nak rasa mencabar, dipersilakan datang ke Muzium Penjara. Pihak Muzium Penjara akan memberikan pengalaman baru untuk mereka yang hendak menjalani kehidupan sebagai banduan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 5:42 PM