AB Rauf (kanan) melawat gerai jualan makanan dan minuman selepas melancarkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Negeri Melaka di BRR Pekan Masjid Tanah hari ini. FOTO Rashidah Abd Rahim.
AB Rauf (kanan) melawat gerai jualan makanan dan minuman selepas melancarkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Negeri Melaka di BRR Pekan Masjid Tanah hari ini. FOTO Rashidah Abd Rahim.
Brernama

Alor Gajah: Melaka akan mewartakan cuti umum Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Malaysia sebagai cuti kelepasan am di negeri itu yang akan diumumkan dalam masa terdekat, kata Ketua Menterinya Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata cuti umum selama sehari itu telah diluluskan kerajaan negeri dan akan berkuat kuasa pada tahun hadapan sempena memperingati hari pengisytiharan kemerdekaan negara yang berlaku di Bandar Hilir di negeri ini.

"Cuti (umum) sedia ada kita pindahkan pada cuti umum Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Malaysia... cuti sedia ada di Melaka tidak ditambah dan tidak dikurangkan.

"Tarikh cuti umum berkenaan saya akan beritahu kemudian selepas saya dapatkan tarikh tepat dan betul untuk dirujuk sebagai hari berkenaan daripada Arkib Negara," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Negeri Melaka di BRR Pekan Masjid Tanah di sini hari ini.

Turut hadir Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Seah Shoo Chin, timbalannya Tuminah Kadi@Mohd Hasim dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka Norena Jaafar.

Ab Rauf berkata cuti umum Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Malaysia diwartakan bagi mengingatkan generasi muda mengenai tarikh dan sejarah penting negara ini khususnya berkaitan kemerdekaan daripada penjajahan British.

Selain itu, beliau berkata sebanyak tiga lokasi BRR beroperasi di tiga daerah di Melaka yang turut menawarkan pelbagai Menu Rahmah dalam usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Katanya lokasi berkenaan adalah Taman Seri Cempaka di Melaka Tengah, Pekan Masjid Tanah di Alor Gajah dan Bandar Baru Merlimau di Jasin dengan 47 peniaga secara sukarela berdaftar untuk menawarkan Menu Rahmah di ketiga-tiga BRR itu.

"Pengunjung juga berpeluang menebus baucar e-dompet bernilai RM20 seorang di bawah Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan dan ia terhad kepada 1,000 pengunjung pertama di setiap lokasi BRR itu pada tarikh yang ditetapkan," katanya.

Katanya penebusan baucar berkenaan boleh dilakukan di BRR Masjid Tanah selama tiga hari iaitu 31 Mac serta 1 dan 9 April manakala di BRR Taman Seri Cempaka (7 dan 8 April) dan Bandar Baru Merlimau (12 dan 13 April).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 10:44 PM