Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada pada Hari Ulang Tahun Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ke-68 di Perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir , malam ini. FOTO AMIR MAMAT
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada pada Hari Ulang Tahun Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ke-68 di Perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir , malam ini. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


Melaka: Golongan pemimpin serta pemikul amanah di negara ini diingatkan supaya tidak terheret dengan amalan kerakusan, keangkuhan dan kegelojohan seperti dilakukan pegawai ketika zaman penjajahan British satu ketika dulu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sebagai generasi penerus (kepada kepemimpinan negara), pemimpin harus berusaha sedaya upaya untuk mengangkat martabat negara, membangunkan ekonomi, meneruskan mutu pendidikan dan kesihatan, membangunkan sektor pelancongan dan industri supaya rakyat boleh hidup dengan lebih selesa.

"Dan inilah komitmen kita. Kita adalah generasi yang kenang jasa (pemimpin terdahulu).

"Kita tahu, kita tak akan ada di sini mengecapi nikmat merdeka kalau tidak kerana jasa tokoh besar kita terdahulu (yang) sanggup menggadai nyawa, harta benda untuk mencari kemerdekaan dan mencapai kemerdekaan untuk negara kita.

"Ini juga peringatan kepada pemimpin yang memikul amanah sekarang supaya belajar daripada elemen dan ciri yang positif serta baik daripada mereka (pemimpin terdahulu) dan tidak terheret dengan amalan kerakusan, keangkuhan, dan kegelojohan (seperti) pegawai penjajah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Ulang Tahun Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ke-68 di Perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir disini malam ini.

Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam; Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Pada majlis itu, keluarga bekas pemimpin kemerdekaan turut hadir, antaranya cucu kepada Tunku Abdul Rahman, Tunku Muinuddin Putra; anak kepada Tun Abdul Ghafar Baba, Datin Seri Zainun; cucu kepada Tun VT Sambanthan, Kunjari Sambanthan serta cucu kepada Tun Tan Cheng Lock, Datin Paduka Tan Siok Choo.

Anwar berkata, kemerdekaan bermakna negara ini yang (pernah diiktiraf sebagai) gagah, merdeka dan berdaulat dengan sistem pemerintahan ulung pada ketika itu, pernah rebah dijajah (malah) kekayaan dipunggah oleh penguasa dan dibawa ke Portugal, Belanda dan kemudian ke Inggeris (British).

"Rakyat dimiskinkan (dan) papa kedana, gedung besar yang kita lihat ini, legasi sejarah, tidak lebih daripada gedung untuk diduduki oleh pemimpin ketika itu... pegawai-pegawai penjajah. Itu ertinya penjajahan.

"Lebih daripada itu, rupa mereka, jiwa mereka dijajah, tidak ada keyakinan kepada jati diri bangsa, hancur lebur semangat rakyat, tidak mungkin berjaya, moden dan membangun tanpa tunduk kepada kekuatan penjajah termasuk Inggeris... Itu ertinya penjajahan," katanya.

Katanya, kita terpukau dengan kekuasaan mereka (malah) menjadi hamba di negara sendiri.

"Dan Alhamdulillah, berkat pejuang bangsa, sebelum itu Datuk Onn Jaafar dan sebelum itu lagi pahlawan bangsa, kemudiannya di bawah Tunku Abdul Rahman yang ketika itu (sebagai) Yang Dipertua UMNO dan Pengerusi PERIKATAN bersama rakan MCA dan MIC serta rakyat umumnya, dapat menebus maruah bangsa kita," katanya.

Justeru, Perdana Menteri memuji usaha kerajaan Melaka pimpinan Ab Rauf yang berjaya mengimbau sejarah kegemilangan pengisytiharan tarikh kemerdekaan yang diadakan malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 10:45 PM