Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim. FOTO arkib NSTP
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kabinet disaran segera bermesyuarat susulan keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan itu adalah satu perkara besar yang perlu ditangani Kabinet Kerajaan Persekutuan.

Katanya, keputusan dianggap besar dan serius kerana pertamanya membabitkan sejauh mana bidang kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) sah membuat undang-undang syariah.

Keduanya, beliau berkata, isu pembahagian bidang kuasa kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan dalam soal Islam di bawah sistem federalisme yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

"Ketiganya, kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai pemerintah negeri yang dianggap Ketua Agama Islam di negeri berkenaan yang memberi perkenan diraja sesuatu Enakmen Undang-Undang Syariah yang diluluskan oleh DUN tiba-tiba dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

"Persoalan timbul apakah peranan dan perasaan raja pemerintah negeri berkenaan apabila kuasanya dinafikan.

"Jadi Jemaah Menteri perlu segera bermesyuarat. Tidak boleh dibenarkan undang-undang keperlembagaan yang berkaitan dengan kedudukan Islam dan undang-undang syariah diserahkan kepada mahkamah semata-mata," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Dalam pada itu, Hassan berkata, tugas mahkamah adalah untuk mentafsir undang-undang manakala tugas menggubal, meminda atau memansuhkan sesuatu undang-undang adalah dalam bidang kuasa Parlimen.

Katanya, ini adalah prinsip pemisahan kuasa di Malaysia.

"Jika ada yang tidak kena sesuatu keputusan mahkamah dengan kehendak masyarakat Islam yang mahu melihat syiar Islam ditegakkan di negara ini maka adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk meneliti keperluan mengadakan pindaan Perlembagaan supaya tidak berlaku lagi petisyen di mahkamah untuk membatalkan Enakmen Undang-undang Syariah di negeri lain pula," katanya.

Beliau berkata, ini kerana soal pindaan Perlembagaan membabitkan keperluan kelulusan dengan majoriti sekurang-kurangnya dua pertiga di Dewan Rakyat.

"Adalah satu keperluan kerajaan mengadakan perbincangan dan babit urus dengan pihak pembangkang di Parlimen dan kerajaan negeri serta akhirnya dibawa ke Majlis Raja-Raja sebelum sesuatu Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan itu dibentangkan di Parlimen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2024 @ 11:19 AM