MUHAMMED Hasbullah (tiga dari kiri) bersama barang rampasan wang haram dan telefon bimbit ketika sidang media tangkapan sindiket yang menawarkan perkhidmatan kepada perjudian atas talian. FOTO arkib NSTP
MUHAMMED Hasbullah (tiga dari kiri) bersama barang rampasan wang haram dan telefon bimbit ketika sidang media tangkapan sindiket yang menawarkan perkhidmatan kepada perjudian atas talian. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Bekas pegawai tinggi kerajaan akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung pemberian kemudahan 'Payment Gateway' (FPX) kepada sindiket perjudian dalam talian.

Difahamkan, individu terbabit memberikan kelulusan kepada syarikat perjudian dalam talian ketika berkhidmat di sebuah kementerian.

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata, individu berkenaan dipercayai menjual lesen untuk kegunaan syarikat berkenaan.

"Kita akan panggil bagi membantu siasatan, surat berkenaan ditandatangani oleh beliau yang memberi kelulusan sebagai syarikat pemberi perkhidmatan dalam talian," katanya ketika ditemui, hari ini.

Mengulas berhubung siasatan sindiket kemudahan FPX, beliau berkata, siasatan kini sudah memasuki fasa kedua dan akan memfokuskan operator perjudian dalam talian.

"Polis menerima maklumat mereka ini (operator perjudian) sedang melakukan sesuatu iaitu 'layering' bagi mengelakkan wang kadar perolehan (turnover) dikesan.

"Kita jangkakan kadar perolehan mereka akan meningkat sehingga RM1 bilion. Kita sudah mengesan mereka ini, tindakan susulan akan diambil," katanya.

Selasa lalu, Pasukan Siasatan AMLA menumpaskan sindiket yang memberi kemudahan FPX kepada puluhan sindiket perjudian dalam talian.

Sindiket yang berselindung di belakang sebuah entiti atas satu nama syarikat itu dikenal pasti menyalahgunakan kelompongan sistem pembayaran dalam talian, untuk membantu aktiviti perjudian dalam talian.

Malah, sindiket sama pernah menjalankan transaksi pembayaran judi dalam talian berjumlah RM576 juta dalam tempoh setahun, selain aktiviti jenayah lain.

Seramai 10 ahli sindiket termasuk seorang lelaki bergelar Datuk Seri, berusia antara 27 hingga 49 tahun yang menjalankan kegiatan berkenaan sejak pertengahan tahun 2022 ditahan dalam operasi yang dijalankan di sekitar Lembah Klang, antara 28 hingga 31 Januari lalu, dibantu Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2024 @ 4:23 PM