Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Cipta sistem proses pertukaran kewangan sebagai platform wang transaksi perjudian untuk mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

Sistem berkenaan yang dibangunkan sebuah syarikat akan mengendalikan aliran tunai keluar dan masuk dari operator perjudian dalam talian.

Syarikat yang didalangi individu bergelar Datuk Seri itu sudah melakukan transaksi sebanyak RM576 juta setahun hasil daripada kadar perolehan (turnover).

Bagaimanapun kegiatan itu berjaya dibongkar Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara Bukit Aman menerusi operasi yang dijalankan pada 28 hingga 31 Januari lalu.

Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara Bukit Aman Datuk Mohammed Hasbullah Ali berkata, pihaknya menahan dalang utama bergelar Datuk Seri terbabit bersama sembilan individu lain berusia 29 hingga 49 tahun di sekitar Lembah Klang kerana disyaki terbabit dengan sindiket gerbang pembayaran terbabit.

Menurutnya, semua individu berkenaan terdiri dari pembangun perisian, pemilik syarikat, pengendali, akauntan dan kerani.

"Berdasarkan risikan sindiket ini mula beroperasi sekitar pertengahan 2022 dan berselindung di sebalik sebuah syarikat yang membangunkan platform gerbang pembayaran MyPay88.

"Gerbang pembayaran ini digunakan pemain judi dalam talian bagi membuat pembayaran untuk memulakan satu pertaruhan di platform perjudian dalam talian," katanya pada sidang media di Menara KPJ, di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut mengesan 40 perjudian dalam talian yang menggunakan sistem ini sebagai platform pembayaran mereka.

"Gerbang pembayaran ini akan menerima komisyen dua peratus bagi setiap transaksi yang dilakukan, akaun yang disediakan oleh sistem berkenaan adalah akaun keldai dan dijana secara automatik.

"Setakat ini, masih ada lagi transaksi dilakukan di gerbang pembayaran terbabit dan kita kesan ia berjumlah keseluruhan RM21 juta," katanya.

Menurutnya, kejayaan tangkapan ini adalah kejayaan pertama dan rampasan terbesar yang pernah dibuat membabitkan sindiket sistem proses pertukaran kewangan terbabit.

"Sindiket ini dikenal pasti menyalahgunakan kelompongan sistem pembayaran atas talian untuk membantu aktiviti perjudian dalam talian dan jenayah lain.

"Hasil tangkapan semua individu berkenaan, polis berjaya merampas sembilan unit telefon pintar, tiga peralatan komputer, empat set dokumen, dua utas jam tangan, 10 kereta mewah dan wang tunai berjumlah RM325,000," katanya.

Katanya, sebanyak 42 akaun bank milik operator perjudian berjumlah RM18.29 juta turut dibekukan.

"Semua individu berkenaan direman selama tiga hingga 11 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953; Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 4:56 PM